Terpulang kepada DAP Sabah putuskan kerjasama dengan WARISAN – Lim Guan Eng

Terpulang kepada DAP Sabah putuskan kerjasama dengan WARISAN – Lim Guan Eng

Sandakan: DAP menyerahkan sepenuhnya kepada kepemimpinan parti itu di Sabah untuk memutuskan sama ada akan meneruskan atau tidak kerjasama dengan Parti Warisan (WARISAN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusinya, Lim Guan Eng, berkata DAP Sabah sudah diberikan autonomi untuk membuat keputusan mengenai perkara itu.

Beliau berkata, DAP Pusat hanya menunggu keputusan itu dan akan menghormati setiap keputusan yang dibuat DAP Sabah.

“Saya akan serahkan kepada DAP Sabah kerana mereka ada autonomi dalam perkara ini, jadi biar mereka putuskan dan dia akan maklumkan kepada pihak kami pemimpin teratas DAP,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis ramah mesra Pengerusi DAP bersama ahli DAP di sandakan, malam tadi.

Perkara itu ada kaitan dengan tindakan dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Sabah, Calvin Chong (Elopura) dan Justin Wong (Sri Tanjong) keluar parti pada Januari lalu sebelum mengumumkan menyertai WARISAN akhir minggu lalu.

Guan Eng berkata, hanya DAP Sabah layak memberikan komen berhubung tindakan dua ADUN terbabit, namun menegaskan tindakan mereka yang mengkhianati perjuangan parti dan mandat rakyat tidak akan memusnahkan perjuangan DAP.

“Seperti yang saya tegaskan selama ini, pemimpin yang mengkhianati perjuangan parti dan mandat rakyat tidak akan matikan semangat, malah perjuangan parti selama ini untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Kita bergantung kepada ahli biasa yang setia kepada parti untuk teruskan perjuangan ini. Jadi selagi ada ahli biasa yang setia, perjuangan DAP akan diteruskan tanpa sebarang halangan,” katanya.

Sementara itu, Guan Eng berharap Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dapat dibincangkan dan diluluskan segera di Dewan Rakyat dalam usaha menangani perbuatan wakil rakyat yang keluar atau melompat parti.

Beliau menyifatkan pembentukan akta baharu itu nanti sebagai detik bersejarah kerana sesiapa yang melompat parti akan kehilangan kerusi mereka sekali gus menamatkan budaya lompat parti.

“Wakil rakyat tak boleh mengkhianati mandat rakyat lagi seperti yang dibuat sekarang, seperti yang diamal sekarang, khususnya untuk dua-dua ADUN atau ADUN yang melompat parti di Sabah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|