Gagal seludup rokok, tekong nekad terjun laut

Gagal seludup rokok, tekong nekad terjun laut

Tawau: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggagalkan cubaan menyeludup masuk 60,000 batang rokok putih bernilai RM40,000 di perairan Tinagat, di sini, semalam.

Dalam kejadian 4.50 pagi itu, bot ronda Maritim Malaysia Zon Tawau yang sedang menjalankan Op Pluto Timur/Op Sejahtera mengesan sebuah bot laju dengan keadaan mencurigakan bergerak dalam keadaan bergelap di kedudukan sekitar 0.5 batu nautika selatan Pulau Tinagat.

Bot laju yang digunakan suspek bagi menjalankan aktiviti penyeludupan rokok di perairan Tawau.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, ketika diarah berhenti untuk pemeriksaan, tekong bot bertindak memecut laju ke arah kawasan cetek bagi meloloskan diri dari ditahan.

Katanya, ketika dikejar bot suspek mengalami kerosakan enjin dan tekong bot bertindak terjun ke laut meninggalkan bot serta muatan.

“Berikutan cuaca gelap dan perairan yang cetek mengehadkan usaha-usaha mengesan suspek terbabit.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan menemukan sejumlah enam kotak besar berisi hampir 60,000 batang rokok putih dengan nilai RM40,000 termasuk cukai,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, semua rokok berkenaan dipercayai cuba diseludup masuk dari negara jiran.

“Semua hasil rampasan termasuk bot dan enjin dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Tawau dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Tawau untuk tindakan lanjut.

“Semua rampasan termasuk bot, enjin, dan muatan barangan disita dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM50,000,” katanya.

Sementara itu, Shahrizan berkata, pihaknya akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Katanya, salurkan sebarang salah laku jenayah yang berlaku di sekitar daerah ini ke talian Pusat Operasi Zon Maritim Tawau 089-752116 dan talian kecemasan MERS 999.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|