Gagal letak tanda harga minuman tin, premis dikenakan kompaun

Gagal letak tanda harga minuman tin, premis dikenakan kompaun

Kota Marudu: Sebuah premis dikenakan kompaun selepas didapati gagal meletakkan harga pada barang jualan dalam operasi yang dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah.

Pengarah KPDNHEP Sabah Georgie Abas berkata, kompaun berkenaan dikeluarkan selepas premis terbabit didapati gagal meletakkan tanda harga terhadap minuman tin pelbagai jenis yang dijual.

Katanya, kompaun sebanyak RM 300 itu dikeluarkan selepas didapati melanggar Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan 2011.

Sementara itu, Georgie berkata, tindakan itu dilaksanakan semasa sepasukan Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Cawangan Kudat menjalankan pemeriksaan pematuhan Penetapan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam serta pemeriksaan harga dan bekalan keperluan asas di sekitar Kota Marudu semalam.

Katanya, hasil pemeriksaan lain mendapati kebanyakkan peniaga mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan oleh KPDNHEP khususnya penandaan harga yang jelas serta alat timbang dan sukat yang digunakan juga ditentusahkan untuk tujuan kegunaan perdagangan.

“KPDNHEP juga berjaya mengeluarkan 36 Kenyataan Pemeriksaan Premis di premis yang diperiksa di sini.

“Dalam pada itu, KPDNHEP juga mengingatkan semua peniaga supaya sentiasa beretika mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan.

“Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP akan terus melaksanakan pemantauan dan pemeriksaaan bagi memastikan bekalan sentiasa stabil dan tiada elemen pencatutan dalam pasaran,” katanya.
 
Georgie berkata, sebarang pertanyaan lanjut dan penyaluran aduan, orang ramai khususnya rakyat Sabah boleh buat ke talian Whatsapp di 019 279 4317, aplikasi ez-Adu atau melalui emel ke aduan@kpdnhep.gov.my.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|