Graduan B40 hargai usaha UMS beri peluang ubah nasib keluarga

Graduan B40 hargai usaha UMS beri peluang ubah nasib keluarga

Kota Kinabalu: Tiada ucapan lebih berharga selain terima kasih atas peluang diberikan Universiti Malaysia Sabah (UMS) kepada pelajar golongan B40 untuk melanjutkan pengajian di universiti berkenaan sehingga berjaya mendapat ijazah dalam usaha mengubah kehidupan keluarga.

Itu antara luahan graduan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Mohd Zulian Zulkifli, 24, ketika ditemui selepas menerima skrol Ijazah Sarjana Muda Program Pengurusan Kewangan dan Perbankan pada Majlis Konvokesyen UMS Ke-23 yang berakhir semalam.

Katanya, latar belakang keluarga yang kurang berkemampuan membuatkannya tidak menaruh harapan untuk melanjutkan pelajaran di peringkat tinggi pada awalnya berikutan banyak kos yang perlu ditanggung ibu bapanya.

“Bapa adalah seorang nelayan dan pada masa yang sama turut bekerja sebagai buruh kasar, manakala ibu saya pula hanya suri rumah tetapi turut melakukan aktiviti bercucuk tanam untuk menampung keperluan kami sekeluarga.

“Pendapatan isi rumah keluarga saya adalah kurang daripada RM1,000 sebulan,” katanya sambil meluahkan penghargaan kepada UMS yang mengambil inisiatif membantu keluarga B40 sepertinya untuk mencapai impian ke menara gading.

Mohd Zulian berkata, kelulusan yang diperolehnya akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengubah nasib keluarga.

“Dengan segala ilmu, kemahiran dan pengalaman yang diperoleh sepanjang pengajian, saya akan praktikkan di alam pekerjaan sekali gus bertekad untuk mengeluarkan keluarga daripada kepompong kemiskinan.

“Saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada UMS atas peluang dan bantuan sepanjang pengajian di sini.

“Tanpa peluang ini, melanjutkan pengajian dan impian meraih segulung ijazah mungkin hanya sekadar mimpi,” kata anak keempat daripada tujuh beradik itu.

Graduan yang berasal dari Kinabatangan itu turut memberikan kata-kata semangat kepada pelajar yang masih berjuang dalam pengajian masing-masing.

“Setiap orang pasti akan merasakan kepayahan, tetapi setiap kepayahan pasti akan membawa kebahagiaan yang kita akan rasai suatu hari nanti.

“Teruskan usaha kerana kejayaan pasti akan menjadi milik mereka yang tidak mengenal erti kata putus asa,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|