Kerajaan negeri terima dividen RM6.18 juta daripada Progressive Insurance Bhd

Kerajaan negeri terima dividen RM6.18 juta daripada Progressive Insurance Bhd

Kota Kinabalu: Syarikat insurans milik kerajaan negeri, Progressive Insurance Bhd (PIB) membayar dividen RM6.18 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember tahun lalu.

Penyerahan replika cek dividen itu disempurnakan di ibu pejabat PIB di Menara Cosway, Kuala Lumpur oleh pengerusinya, Tan Sri Sukarti Wakiman kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, siang tadi.

Sukarti menyerahkan replika cek dividen PIB kepada Hajiji di Kuala Lumpur.

Hadir sama ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong dan Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan negeri yang juga Timbalan Pengerusi PIB, Datuk Rusdin Riman.

Turut hadir ialah Ahli Lembaga PIB, Mohamed Rifai Razi, Paul Chong Thian Soo, Chee Shok Ting dan Abdul Aziz Zainal Abidin serta Ketua Pegawai Eksekutif PIB, Simon Leong.

Jumlah dividen berkenaan berdasarkan nilai 7.1 sen bagi setiap saham biasa yang dibayar kepada kerajaan negeri mewakili lima peratus Return on Capital Employed (ROCE) kepada pemegang saham.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata meskipun berdepan banyak cabaran khususnya disebabkan pandemik Covid-19, PIB berjaya melakar pencapaian yang baik hasil kerja keras yang dilaksanakan syarikat itu.

Pagi tadi, Hajiji yang diiringi Safar menghadiri Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Putrajaya.

Hajiji seterusnya akan mengiringi Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin ke Persidangan Majlis Raja-Raja Ke-259 selama dua hari di ibu negara bermula esok.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|