Konvensyen BN Sabah medan kukuhkan solidariti – Bung Moktar

Konvensyen BN Sabah medan kukuhkan solidariti – Bung Moktar

Kota Kinabalu: Konvensyen Barisan Nasional (BN) Sabah 2022 yang dijadualkan berlangsung Sabtu ini di International Technology & Commercial Centre (ITCC) Penampang akan menjadi medan memperkukuhkan solidariti parti komponen BN di Sabah.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata konvensyen yang dijangka dihadiri sekitar 5,000 peserta dari seluruh Sabah itu juga akan menjadi saksi kekukuhan kesepakatan sebuah gabungan parti yang turut memberikan sumbangan terbesar kepada pembentukan kerajaan Sabah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020.

Bung Moktar menyerahkan jemputan kepada Najib untuk mengisi program Bicara Seorang Negarawan sempena Konvensyen BN Sabah, Sabtu ini.

Menurut beliau, konvensyen itu berkemungkinan menjadi pertemuan terakhir ahli-ahli parti komponen BN sebelum menghadapi pilihan raya yang disifatkan paling sengit dalam sejarah PRU Malaysia.

“Justeru, ahli-ahli BN khususnya peserta yang hadir ke konvensyen ini perlu memanfaatkan pertemuan ini bagi membincangkan isu-isu yang relevan untuk memperkasakan perjuangan parti serta melihat secara jujur segala rencana dan pelan BN dalam mengatur persediaan menghadapi PRU akan datang,” katanya dalam perutusan yang sempena Konvensyen BN Sabah 2022, di sini.

Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah, berkata BN adalah satu gabungan politik yang memerlukan saf kepimpinan dan jentera semua parti komponen yang bersatu hati untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Walaupun kita hanya ada empat parti dalam kompenan BN di Sabah namun kita memerlukan antara satu sama lain untuk terus mendokong kerajaan yang ada.

“BN perlu mengambil pendekatan terutamanya merapatkan barisan kepimpinan dan menyatukan seluruh jentera di semua peringkat sebelum kita berhadapan PRU yang akan diadakan bila-bila masa sahaja.

“Kesiapsiagaan kita amat penting bukan sahaja jentera pilihan raya tetapi gerak kerja yang dilakukan berbeza dengan pilihan raya sebelum ini.

“Kita mahu kewujudan BN itu bukan sahaja dihargai namun sentiasa dekat dihati rakyat sebagai jenama yang sentiasa memperjuangkan kepentingan negara dan rakyat,” katanya.

Tambah Bung Moktar, UMNO telah bergerak sekian lama namun BN mahu parti-parti lain bersama-sama dengan UMNO untuk bergerak seiring sejalan dalam menentukan kemenangan PRU-15.

Pelbagai program diatur untuk pengisian konvensyen kali ini antaranya Forum ‘Politik dan Ekonomi Sabah’ yang menampilkan ahli-ahli panel Datuk Seri Salleh Said Keruak, Datuk Ahmad Shabery Chik, Drs Monih Epin dan Prof Madya TS Dr Ramzah Dambul, manakala moderatornya, Datuk Dr Pamela Yong.

Turut mengisi program ialah Bicara Seorang Negarawan oleh Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak.

Di pentas yang lain pula diadakan Forum Anak Muda disertai Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ir Aziz Julkarnain , Prof Madya Dr Edwin (PBRS), Roger (MCA) dan Azuwan Marjan dari Majlis Belia Malaysia dengan moderatornya, Ketua Puteri UMNO Sabah Datuk Dr Fadilah Sabri.

Majlis penutupan konvensyen itu akan dirasmikan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|