Perkasa gerak kerja untuk kekuatan jentera Srikandi – Azizah

Perkasa gerak kerja untuk kekuatan jentera Srikandi – Azizah

Kota Marudu: Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah digesa terus memperkasa gerak kerja dalam melaksanakan semua program mendekati rakyat dan meningkatkan kualiti nilai tambah kepada pemerkasaan jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ketuanya, Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata, kepimpinan Srikandi harus kukuh dan memiliki semangat solidariti serta jati diri tinggi yang kental dalam usaha memantapkan parti.

Azizah bersama Srikandi BERSATU Kudat.

“Kita kena bermula dari peringkat cawangan, bahagian, kita perkuatkan dan kukuhkan semangat kita dalam usaha memantapkan dan memperkukuhkan perjuangan parti kepada peringkat akar umbi dan inilah formula kita.

“Kita perlu bekerja dan bergerak secara sebuah pasukan kerana kita saling memerlukan dan kebersamaan itu akan lebih menguatkan gerakan kita, sekali gus bakal membawa kejayaan insyaAllah,” katanya pada perjumpaan bersama jentera Srikandi BERSATU Bahagian Kudat dan Kota Marudu di sini, semalam.

Hadir sama Penolong Setiausaha Srikandi BERSATU Sabah, Datuk Redonah Bahanda; Ketua Srikandi BERSATU Kudat, Norlizah Gurahman dan Setiausaha Kerja Srikandi BERSATU Sabah, Aziah Atoh.

Azizah yang juga Ahli Parlimen Beaufort berkata, gerak kerja Srikandi secara konsisten selama ini pasti mampu membawa hasil positif kepada parti dan kekuatan sayap Srikandi adalah dengan semangat kerjasama berpasukan yang utuh.

“Kita menerima asakan dan pelbagai tohmahan khasnya dari pihak sebelah sana, pihak lawan kita, yang tidak pernah penat untuk mencari agenda bagi melawan parti kita, melawan perjuangan kita.

“Namun ini bukan masalah pada kita kerana semakin mereka cuba mencari kelemahan kita, semakin kita kuat bersatu dengan gerak kerja secara berkumpulan tanpa melihat perbezaan.

“Kita perlu sentiasa fokus untuk memberi kefahaman dan beri segala maklumat dan informasi yang diperlukan oleh akar umbi, oleh rakyat, oleh golongan sasar kita, tentang usaha dan perjuangan parti kita,” katanya.

Azizah dalam pada itu turut memaklumkan bahawa Srikandi BERSATU Sabah sudah membincangkan dan memperhalusi segala isu yang dibangkitkan demi mencapai matlamat perjuangan sayap Srikandi dan perjuangan parti.

“Kita faham dan kita sentiasa peka dengan semua isu dan ini yang kita bincangkan dalam setiap pertemuan kita.

“Saya juga ingin mengajak semua Srikandi untuk terus berfikiran terbuka dan sentiasa mencari idea-idea baharu untuk tujuan memantapkan gerak kerja jentera dalam parti,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|