Empat beradik yatim piatu sambut raya dalam suasana suram

Putatan: “Dulu semua kerja buat bersama-sama Mami (ibu) tetapi sekarang semua kena buat sendiri,” itu luahan hati anak sulung daripada empat beradik yatim piatu ketika ditemui di kediaman mereka di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Sri Keramat, di sini, baru-baru ini.

Menurut Nursazzey Shazmeka Mazlan, 16, ditambah pula dengan sambutan Hari Raya menyebabkan dia semakin pilu mengenang kedua ibu bapa dan adiknya yang sudah meninggalkan mereka dalam nahas dua tahun lalu.

Nursazzey Shazmeka membantu adiknya sebelum menyambut hari raya.

“Sambutan Hari Raya tahun ini kami buat secara sederhana kerana masih terasa dengan kehilangan kedua ibu bapa dan adik saya dalam kemalangan itu.

“Selalunya pada bulan puasa, saya teringat Mami beli banyak juadah untuk kami berbuka puasa dan ketika Hari Raya pula, sudah tentu kami sibuk membuat persediaan bersama-sama.

“Dadi (ayah) akan menghias rumah mengikut kemahuan Mami dan saya bersama adik yang lain akan membantu apa yang patut,” katanya.

Nursazzey berkata, banyak perkara yang dirinduinya bersama kedua ibu bapa termasuk masakan yang dihidangkan setiap kali Ramadan.

“Biasanya Mami akan kejutkan kami untuk bersahur dan antara masakan dia yang saya paling rindu ialah ayam masak kicap dan kari.

“Kalau dulu, saya akan membeli barang-barang dengan Mami termasuk pakaian adik-adik untuk Hari Raya, tetapi sekarang sudah tiada lagi,” katanya.

Sementara itu, Naisah Miss, 61, nenek kepada empat beradik itu berkata, kesemua cucu-cucunya itu sudah pandai menguruskan diri masing-masing terutama yang sulung dan kedua selepas ketiadaan kedua ibu bapa mereka.

“Mujur saya masih sihat dan dapat menjaga mereka lagi. Sepanjang puasa ini saya yang masak untuk mereka dan untuk persiapan Hari Raya kami akan membuat kuih bersama-sama.

“Syukur Alhamdulillah rezeki mereka sebagai anak yatim piatu mendapat perhatian daripada pelbagai pihak untuk membantu termasuk dari segi kewangan untuk persekolahan dan sebagainya,” katanya.

Dalam kejadian pada 31 Mac 2021, lori tunda yang dinaiki tujuh beranak itu terbabas dan menyebabkan Mazlan Abdullah, 38, bersama isterinya Norafidah Sukeymin, 37, dan anak kedua mereka, Nursazilla Shazmira, 12, meninggal dunia.

Bagaimanapun, Nursazzey Shazmeka, Muhammad Irfan Ihtisyam, Nurmya Shaznira, 8 dan adik bongsu mereka, Nurnafisya Shazniza, 5, terselamat dalam kejadian itu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|