Bot berlanggar, suami cedera, isteri keguguran

Semporna: Seorang lelaki parah manakala isterinya keguguran selepas bot dinaiki berlanggar dalam kejadian di perairan daerah ini berhampiran Dragon Inn, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, pasangan berusia 34 dan 22 tahun terbabit dikatakan sedang menaiki bot dari arah pekan Semporna menuju ke Kampung Hayang, Pulau Bum Bum.

Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, bot dinaiki kedua-dua mangsa tiba-tiba berlanggar dengan sebuah lagi bot dinaiki seorang lelaki berusia 20-an.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Firdaus Lee Abdullah berkata, perlanggaran berkenaan menyebabkan kedua-dua mangsa terjatuh ke laut.

Katanya, kedua-dua mangsa berjaya diselamatkan orang awam sebelum terus dihantar ke Hospital Semporna untuk mendapatkan rawatan.

“Kedua-dua mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Tawau untuk mendapatkan rawatan lanjut. Mangsa lelaki mengalami kecederaan di kaki dipercayai terkena kipas bot.

“Manakala isterinya pula mengalami keguguran kandungan berusia 25 minggu namun kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan medisa yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Farhan berkata, suspek dalam kejadian ini melarikan diri dan usaha mengesan sedang giat dijalankan.

Katanya, kes siasatan dibuka mengikut Seksyen 280 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

“Pihak polis ingin menasihati pemilik bot supaya berhati-hati semasa menggunakan bot terutamanya di kawasan sibuk selain menyediakan peralatan seperti jaket keselamatan.

“Polis juga memohon orang ramai yang menyaksikan kejadian supaya menyalurkan maklumat kepada pengawai penyiasat Inspektor Muhammad Nur Hazreeq di talian 019-8139851 atau mana-mana balai polis berhampiran.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|