PUSPEN Papar beri peluang klien sambut Syawal

PUSPEN Papar beri peluang klien sambut Syawal

Papar: Bagi mengubat kerinduan kepada keluarga pada bulan Syawal, Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) tidak ketinggalan turut mengadakan pelbagai program untuk penghuni di dalam pusat itu.

Sambutan Hari Raya di PUSPEN Papar tidak kurang meriahnya sama seperti di luar namun yang membezakannya ‘inti pati’ ketika berada di dalam yang lebih kepada memulihkan dan merawat individu yang mengalami masalah ketagihan dadah.

Pengarah PUSPEN Papar, Rosmawati Apin berkata, PUSPEN merupakan sebuah pusat pemulihan yang menawarkan kepada mereka yang mempunyai kebergantungan kepada dadah dan juga terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

“Walaupun mereka dalam rawatan namun sambutan Hari Raya tetap diadakan kerana ini salah satu proses pemulihan yang melibatkan klien.

“Kebiasaannya pada sambutan Syawal sama seperti biasa di mana klien akan menunaikan solat Aidilfitri bersama dengan kakitangan.

“Selain itu kita akan mengadakan majlis dan pertandingan untuk menghiburkan mereka seperti pertandingan daripada setiap asrama mereka diami,” katanya ketika ditemui di PUSPEN Papar, di Kimanis, baru-baru ini.

Beliau mengakui disebabkan pandemik Covid-19 selama dua tahun menyebabkan program terbatas kerana pergerakan agak terhad.

“Namun Ahli Lembaga Pelawat dan saya sendiri akan memberi ucapan melalui medium Zoom untuk menyampaikan ucapan tanda kita meraikan mereka walaupun mereka berada di sini.

“Tetapi semua aktiviti yang dilaksanakan sebelum ini akan dimulakan semula pada tahun ini bagi membantu pemulihan klien di sini,” katanya.

Ditanya lanjut berhubung sambutan untuk Hari Raya pada pagi Syawal, Rosmawati berkata, semua klien akan menikmati juadah ketika berhari raya.

“Untuk jamuan Hari Raya sudah tentu ada, meeka juga mempunyai menu istimewa sama seperti rutin hidangan Hari Raya.

“Menunya adalah rendang, kuah kacang, kek dan sebagainya. Kita akan sedaya upaya menyediakan makanan itu seperti mana yang disediakan pada Hari Raya ketika mereka masih di luar,” katanya.

Tambahnya lagi, untuk sesi pertemuan dengan keluarga turut diadakan dan perkara itu akan dihebahkan seminggu selepas Syawal.

“Seminggu kemudian selepas Hari Raya, baru kita akan hebahkan kepada keluarga untuk melawat ahli keluarga yang berada di sini.

“Oleh kerana tahun ini baru pertama kali dibuka untuk lawatan keluarga sempena Hari Raya Aidilfitri, maka perlu perancangan awal dari pihak PUSPEN sendiri supaya keluarga boleh datang dan itu pun dilakukan secara janji temu bagi mengelak daripada jangkitan dari luar,” katanya.

Sehubungan itu, Rosmawati menjangkakan akan ramai ahli keluarga mengambil kesempatan untuk bertemu klien yang berada di dalam PUSPEN Papar.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|