Dua bot PATI menceroboh masuk, diusir

Tawau: Tindakan berterusan Pasukan Polis Marin (PPM) dalam menjaga perairan negara berjaya mengesan cubaan dua bot jongkong yang menceroboh masuk ke perairan daerah ini, di sini, semalam.

Sebaik pencerobohan berkenaan disedari, pasukan operasi PPM terus melakukan pintasan untuk pemeriksaan terhadap kedua-dua bot dipercayai warga asing terbabit.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah Empat Tawau, Deputi Superintendan Ridzauddin Selamat berkata, cubaan pencerobohan PATI itu dikesan anggota PPM ketika melakukan rondaan di kawasan tanggungjawab.

Katanya, sebaik bot berkenaan dikesan dalam keadaan yang mencurigakan, pasukan operasi terus melakukan pemintasan di perairan jiran.

“Hasil pemeriksaan mendapati, juragan bot terbabit mendakwa berasal daripada Indonesia dan tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah untuk memasuki Malaysia.

“Bot berkenaan kemudiannya diusir keluar dengan diiring sehingga keluar dari perairan negara,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Ridzauddin berkata, PPM Tawau sentiasa komited dalam menjalankan tanggungjawab menguatkuasakan kawalan pergerakan di kawasan perairan negara khususnya daerah Sandakan.

Katanya, ia bagi mengekang penularan wabak penyakit pandemik Covid-19 selain jenayah rentas sempadan.

“PPM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba membolosi persempadanan negara,” katanya.

Sehubungan itu, Ridzauddin berkata, PPM amat menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat kepada pihaknya.

Katanya, maklumat boleh disalurkan menerusi aplikasi WhatsApp PPM Wilayah Empat Sabah di talian 013-2831197 atau berhubung ke Bilik Gerakan PPM Tawau di talian 089-983628 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga serta terkawal.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|