Dua selamat, kereta terbabas sebelum terbakar

Tenom: Dua lelaki sempat menyelamatkan diri sebelum kereta dinaiki mereka terbakar dalam kejadian di Kampung Gumisi, Kemabong, di sini, malam tadi.

Kejadian jam 7.20 malam itu, kedua-dua lelaki berusia 17 dan 20-an yang menaiki kereta jenis Toyota Corona dalam keadaan selamat.

Keadaan kereta Toyota Corona yang terbakar.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.30 malam.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Wilfred Sulai bergegas ke lokasi kejadian.

Pasukan bomba memadam kebakaran kereta Toyota Corona di Kampung Gumisi, Kemabong, Tenom.

“Setiba di lokasi, kemalangan membabitkan sebuah kerete jenis Toyota Corona terbabas sendiri lalu melanggar pencawang di tepi jalan dan terbakar 90 peratus.

“Terdapat dua mangsa terbabit berjaya keluar sendiri daripada kenderaan dalam keadaan selamat,” katanya dalam kenyataan media.

Menurutnya, pasukan bomba kemudian bertindak menjalankan operasi pemadaman.

“Kerja-kerja pemadaman dijalankan oleh anggota bagi memastikan tiada lagi punca api dan asap dilokasi.

“Operasi tamat pada 8.45 malam dan punca serta kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|