Sabah bantu PKS rebut peluang limpahan ekonomi Kalimantan

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah dalam proses untuk mewujudkan ekosistem perniagaan dan keperluan infrastruktur bagi membantu perniagaan kecil dan sederhana (PKS) merebut peluang yang bakal diwujudkan melalui pemindahan ibu negara Indonesia di Kalimantan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam, berkata bagi tujuan itu tumpuan diberikan di daerah bersempadan dengan Kalimantan iaitu Tawau, Kalabakan, Nabawan dan Sipitang.

Katanya penyediaan ekosistem dan infrastruktur lengkap bagi menyokong aktiviti perniagaan di daerah terbabit membolehkan ahli perniagaan di negeri ini dapat mengambil peluang daripada limpahan ekonomi yang wujud melalui pembangunan ibu negara Indonesia yang dinamakan Nusantara itu.

“Saya pasti perdagangan dua hala, pelancongan, pelaburan dan peluang perniagaan yang lain akan meningkat dengan kemunculan ibu negara baharu Indonesia itu di Kalimantan.

“Sehubungan itu, kerajaan sangat menggalakkan PKS tempatan untuk merebut peluang ini. Kerajaan negeri melalui Kementerian Pembangunan Perindustrian sentiasa bersedia untuk menyokong apa saja usaha yang dapat membantu pertumbuhan ekonomi Sabah.

“PKS di Sabah perlu memberi tumpuan kepada peluang yang bakal diwujudkan Nusantara dan menyelaraskan model perniagaan masing-masing bagi mengambil peluang berkenaa,” katanya pada sambutan ulang tahun ketujuh Persatuan Usahawan Maju Malaysia (PUMM) Sabah, di sini, malam tadi.

Yang turut hadir ialah bekas Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi POIC Sabah Sdn Bhd, Datuk Yong Teck Lee; Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Dr Roland Chia dan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian negeri, Thomas Logijin.

Sementara itu, Dr Joachim yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri, berkata kementeriannya dan PUMM mempunyai visi yang sama dalam membantu usahawan tempatan di negeri ini.

Katanya, bagi tujuan itu, pelbagai program dilaksanakan dan akan terus ditingkatkan untuk sama-sama membantu dan memberi motivasi kepada usahawan tempatan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|