PRU-15: PKR Sabah ajak semua parti pembangkang bekerjasama hadapi lawan

PRU-15: PKR Sabah ajak semua parti pembangkang bekerjasama hadapi lawan

Tawau: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah mengajak semua parti pembangkang di negeri ini bekerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusinya, Datuk Christina Liew, berkata kerjasama itu sudah terbukti membawa kemenangan pada PRU-14 melalui kerjasama Pakatan Harapan (PH) Plus dengan Parti Warisan (WARISAN).

“Hari ini ada khabar mengatakan WARISAN akan bertanding sendiri tetapi kita mengatakan dan berpandangan yang kita sentiasa mengalu-alukan kerjasama sebab masanya kita harus bekerjasama dan tidak boleh lawan sendiri.

“Kita mesti bersama barulah kita boleh menang, khususnya berdepan lawan kita yang cukup kuat, kita perlu bekerjasama, bersatu dan fokus untuk memenangi kerusi untuk menjadi kerajaan semula,” katanya pada sidang media di Pejabat Parlimen Tawau, di sini, semalam.

Christina yang juga Ahli Parlimen Tawau, berkata pembangkang perlu mengekalkan kerjasama untuk memenangi PRU-15 seperti dilakukan pada PRU-14.

“Hari ini kita katakan bertanding sendiri, esok mungkin akan berubah, jadi kita tidak boleh mengatakan ikut formula ini sahaja. Pelbagai pilihan langkah sentiasa tersedia, hanya tinggal kita mahu memilih mana satu langkah yang terbaik untuk kita lakukan.

“Jika kita kerjasama dua atau tiga parti ia akan berhasil, jika kita bersendirian kita akan kalah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yakin dapat mempertahankan kerusi Parlimen Tawau pada PRU-15 berdasarkan kekuatan jentera dan pasukannya yang rajin turun padang membantu rakyat.

“Saya yakin pengundi akan faham bila kita berkhidmat kepada mereka, mereka akan hargai dan mengundi kita,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|