PRU-15: UMNO mahu kekalkan semua kerusi tradisi

Sandakan: UMNO berpandangan lebih baik untuk parti itu mengekalkan kerusi tradisinya di Sabah dan meletakkan calonnya sendiri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Naib Presidennya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata maksud tradisi itu sudah cukup jelas dan ia harus diikuti.

“Perkataanpun tradisi, jadi kalau dah tradisi, tradisilah maksudnya. Kita ikut tradisi yang bagus,” katanya pada sidang media sempena majlis penyerahan keuntungan boleh agih akhir 2021 fasa dua, projek peserta FELCRA Berhad, di sini, malam tadi.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar bagaimanapun berkata soal berkenaan belum dibincangkan di peringkat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO secara khusus.

Namun katanya, perkara itu ada ditegaskan dalam Persidangan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini iaitu UMNO akan kekal bertanding di semua kerusi Parlimen tradisinya.

“Secara khusus belum (dibincangkan). Kalau dalam PAU ada penegasan, maknanya kita ada pertimbangan untuk pergi dalam pilihan raya jadi saya ingat itu semua umum sudah tahu apa keputusan PAU yang telah dibuat,” katanya.

Secara peribadi, Mahdzir berkata, kerusi tradisi UMNO di Sabah perlu kekal ditandingi UMNO Sabah pada PRU-15.

Isu kerusi tradisi UMNO di Sabah semakin hangat diperkatakan sejak akhir-akhir ini berikutan jangkaan PRU-15 diadakan dalam masa terdekat.

Kebanyakan isu adalah berkaitan kerusi Parlimen yang ditandingi dan dimenangi atas tiket Barisan Nasional (BN) dari kuota UMNO pada PRU-14, namun kini menjadi milik parti lain selepas wakil rakyatnya keluar UMNO dan menyertai parti baharu.

Pada masa sama ada pihak yang mahu perundingan dijalankan agar tiada pertembungan sesama sendiri dalam Gabungan Rakyat Sabah – BN (GRS-BN) bagi mengelak kedudukan kerajaan negeri sekarang tergugat.

Bagaimanapun, difahamkan keputusan itu ditolak akar umbi yang mahu kerusi tradisi UMNO kekal ditandingi calon parti berkenaan pada PRU-15.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|