Labuan: Komuniti Rukun Tetangga (KRT) Kampung Rancha-Rancha Darat dan Laut baru-baru ini mengadakan program memasak bubur lambuk anjuran bersama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Wilayah Persekutuan Labuan.
Program itu yang berlangsung secara serentak di seluruh negara membabitkan kira-kira 3,000 KRT.
Program Semarak Perpaduan Bubur Lambuk Perdana Rukun Tetangga itu diserikan lagi dengan kehadiran Pengarah JPNIN Labuan, Esther Dingkawan dan Pengurus Pusat Penerangan Pelancongan Labuan, Nor Hidayah Mohd Nor.
Seramai 15 ahli KRT Kampung Rancha-Rancha Darat / Kampung Rancha-Rancha Laut bergotong-royong memasak bubur lambuk yang diadakan di pekarangan rumah Roslee Bakar.
Pengerusi KRT Kampung Rancha-Rancha Darat dan Laut, Alias Asri berkata sebanyak 50 bungkus diserahkan kepada JPNIN untuk diagihkan ke rumah-rumah ibadat, hospital, balai polis dan balai bomba.
Katanya, bubur lambuk itu juga turut diagihkan kepada penduduk kampung.
“KRT Kampung Rancha-Rancha Darat / Kampung Rancha-Rancha Laut turut tidak ketinggalan memeriahkan Program Semarak Perpaduan Bubur Lambuk Perdana Rukun Tetangga untuk mengeratkan hubungan sesama ahli KRT,” katanya.
Beliau berharap menerusi program seumpama itu, hubungan baik yang sedia terjalin dalam kalangan penduduk kampung akan terus kukuh.
“Menerusi program ini, kerjasama dan perpaduan dalam kalangan ahli KRT dan penduduk Rancha-Rancha akan terus mantap,” katanya.
Malah, katanya, memasak bubur lambuk merupakan tradisi pada bulan Ramadan yang akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang.
-Deasoka