Covid-19 Sabah: 23,578 kanak-kanak berdaftar untuk terima vaksin setakat semalam

Covid-19 Sabah: 23,578 kanak-kanak berdaftar untuk terima vaksin setakat semalam

Kota Kinabalu: Seramai 23,578 orang kanak-kanak berumur lima hingga bawah 12 tahun di Sabah sudah didaftarkan melalui aplikasi MySejahtera untuk menerima vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids), setakat semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Rose Nani Mudin, berkata pemberian vaksin untuk kanak-kanak yang sudah berdaftar bermula semalam di lima hospital pakar seluruh negeri.

Katanya, lima hospital pakar terbabit ialah Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) di Likas, Hospital Dushess of Kent Sandakan, Hospital Keningau, Hospital Lahad Datu dan Hospital Tawau.

Beliau berkata, program itu akan diperluaskan ke hospital dan klinik lain yang beroperasi sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negeri bermula esok.

“Pihak JKNS masih terus menyediakan 251 fasiliti kesihatan sebagai PPV di Sabah yang terdiri daripada hospital serta klinik kerajaan dan swasta untuk menyediakan perkhidmatan pemberian vaksin sama ada ‘booster’, vaksin kanak-kanak, dos kedua dan dos pertama,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau berkata, ibu bapa dan penjaga boleh mendaftarkan kanak-kanak dalam jagaan masing-masing melalui aplikasi MySejahtera dengan menggunakan dokumen MyKid atau Sijil Kelahiran.

Bagaimanapun, katanya pelaksanaan PICKids di Sabah turut dibuat melalui ‘walk-in’, PPV Awam, ‘offsite PPV’, aktiviti jangkauan luar ke kawasan pedalaman dan mengikut sekolah dalam daerah.

Katanya, sama seperti program pemberian vaksin sebelum ini, vaksin untuk kanak-kanak juga adalah percuma kepada warganegara Malaysia dan bukan warganegara.

“Ibu bapa dan penjaga disarankan agar memastikan anak-anak yang dibawa mendapatkan vaksin supaya mengambil makanan sebagai alas perut sebelum divaksin.

“Kanak-kanak perlu memakai baju lengan atau seluar yang boleh lipat dengan mudah kerana suntikan diberi pada lengan atas atau di bahagian paha,” katanya.

Katanya, JKNS menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya memberi ubat paracetamol kepada anak jika mengalami demam selepas vaksinasi dengan dos mengikut berat badan (15mg/kg/ per body weight).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|