Keselamatan ESSZONE aman dan terkawal – ESSCOM

Keselamatan ESSZONE aman dan terkawal – ESSCOM

Lahad Datu: Keadaan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) setakat ini aman dan terkawal tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Penjelasan itu dibuat Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Deputi Komisioner Hamzah Ahmad ketika mengulas dakwaan berhubung 10 lelaki bersenjata warga Filipina menyusup masuk di perairan Tambisan, di sini, baru-baru ini.

Beliau bagaimanapun berkata, dakwaan mengenai laporan itu masih dalam siasatan pihaknya, namun menjelaskan situasi di ESSZONE adalah terkawal.

“Ketika ini keadaan aman dan terkawal,” katanya ringkas melalui aplikasi Whatsapp, hari ini.

Berdasarkan laporan sebuah agensi berita sebelum ini, seorang lelaki mendakwa melihat lebih 10 individu mencurigakan berpakaian celoreng serta bersenjata masuk ke Sabah melalui perairan Long Patau, Tambisan, minggu lalu.

Lelaki terbabit turut mendakwa semua individu itu adalah warga Filipina berdasarkan perbualan mereka yang menggunakan bahasa Suluk.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|