Bentang laporan status pelaksanaan dan pencapaian tahunan setiap 29 Mac – Hajiji

Bentang laporan status pelaksanaan dan pencapaian tahunan setiap 29 Mac – Hajiji

Kota Kinabalu: Setiap kementerian di negeri ini diarah supaya membentangkan Laporan Status Pelaksanaan dan Pencapaian Tahunan bermula 29 Mac ini sebagai tahun pertama pelaksanaannya.

Selain itu, hari terbuka perlu dianjurkan bagi membolehkan rakyat mengetahui makna di sebalik Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilaksanakan ketika ini.

Hajiji menerima laporan IKOBT 202I daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong sempena Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Sabah di SICC, Kota Kinabalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, melalui Pelan SMJ 1.0 pelbagai inisiatif yang dirangka selaras dengan fungsi teras setiap kementerian, jabatan dan agensi kerajaan negeri ini.

“Pelaksanaan pelan ini akan dipantau secara dekat oleh Sekretariat Sabah Maju Jaya. Status pelaksanaan dan pencapaian setiap kementerian akan dibentangkan pada setiap tahun melalui Laporan Status Pelaksanaan dan Pencapaian Tahunan bermula pada 29 Mac 2022, iaitu dalam tempoh dua bulan dari sekarang.

“Saya telah mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri, bahawa pada tarikh itu, bukan sahaja laporan pelaksanaan perlu dibentangkan oleh setiap kementerian, tetapi kita perlu menganjurkan hari terbuka untuk membolehkan rakyat mendengar, melihat dan merasai nilai dan makna di sebalik Halatuju SMJ,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Perhimpunan Pejawat Awam Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Hajiji berharap semua agensi kerajaan bersedia untuk melaporkan status pelaksanaan dan pencapaian inisiatif-inisiatif di bawah tanggungjawab masing-masing.

“Saya juga mahu agensi kerajaan persekutuan di Sabah turut serta dengan mempersembahkan perancangan dan status pelaksanaan projek dan program masing-masing untuk pemahaman dan tatapan rakyat.

“Saya berharap Setiausaha Persekutuan Sabah dapat menyelaraskan penyertaan agensi-agensi persekutuan dalam hari terbuka itu kelak.

“Ini penting kerana saya berpegang kepada prinsip bahawa kejayaan hakiki sesebuah agenda pembangunan kerajaan adalah apabila nilai dan makna pembangunan itu bukan sahaja boleh didengar tetapi perlu dilihat dan dirasai oleh rakyat.

Sementara itu, beliau berkata, penjawat awam adalah nadi dan jentera penting dalam menentukan kejayaan agenda kerajaan khususnya dalam Halatuju SMJ.

“Kita perlu sentiasa melihat dan melaksana usaha memperkasa transformasi perkhidmatan awam supaya kita mempunyai sebuah pasukan yang terbaik sejajar dengan cabaran dan tuntutan zaman.

“Saya memberikan sepenuh komitmen terhadap pelaksanaan sebarang inisitiaf pemerkasaan perkhidmatan awam negeri mahupun persekutuan.

“Antara keutamaan transformasi perkhidmatan awam adalah usaha memantapkan integriti dan profesionalisme, memperkasa sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan, menyemarakkan budaya kerja yang produktif, inovatif dan kreatif (PIK) dan membina mekanisme komunikasi strategik agar dasar dan program Kerajaan boleh didengar, dilihat dan dirasai oleh rakyat,” katanya.

Katanya lagi, antara pendekatan penting yang sedang dilaksanakan di peringkat negeri adalah Inisiatif Kerajaan Digital.

“Terkini, kerajaan negeri telah mengambil langkah membangunkan tiga Data Hub iaitu People Hub, Business Hub dan Geo Hub untuk perkongsian data melalui satu platform yang dikenali sebagai Data Integration and Interchange Platform (DIIP).

“Data hub dan platform ini akan memudahkan perkongsian data antara Kerajaan kepada Kerajaan (G2G), Kerajaan kepada Perniagaan (G2B) dan Kerajaan kepada Rakyat (G2C) sekali gus merintis usaha untuk mewujudkan Sabah Digital Marketplace yang akan merangsang pertumbuhan perniagaan yang berpaksikan rakyat,” katanya.

Hajiji dalam pada itu turut mengalu-alukan komitmen perkhidmatan awam negeri dalam melaksanakan Polisi Amalan Baik Peraturan (Good Regulatory Practice – GRP) bermula tahun 2021.

“Saya difahamkan kerajaan Sabah telah menerima anugerah Regulatory Champion iaitu ‘Negeri Aktif Melaksanakan GRP’ sempena Persidangan Kebangsaan Amalan Baik Peraturan 2021 daripada Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC),” katanya.

Beliau berkata, transformasi perkhidmatam awam juga perlu meliputi aspek kebajikan penjawat awam.

“Aspek peluang dan urusan kenaikan pangkat, pengurusan dan persekitaran kerja, kemudahan rawatan dan perumahan perlu dijadikan fokus dan keutamaan.

“Di bawah Pelan Pembangunan SMJ 1.0 bagi tempoh 2021-2025, satu lokasi telah dikenal pasti untuk pembangunan perumahan penjawat awam iaitu di Papar seluas 136 ekar. Saya berharap inisiatif ini dapat disusul dalam tempoh yang telah dirancang,” katanya.

Beliau turut difahamkan bahawa Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri telah memperkenalkan Indeks Kegembiraan Organisasi Berprestasi Tinggi (IKOBT).

“Kajian ini untuk mengukur tahap kegembiraan penjawat awam dalam konteks hubung kait dengan faktor-faktor kesejahteraan dan kecekapan sesebuah organisasi yang berprestasi tinggi.

“Saya menyokong inisiatif ini yang dilaksanakan bersama pakar penyelidik daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS). Dapatan yang bakal diperolehi adalah penting dalam merangka strategi yang bersesuaian bagi merencana transformasi perkhidmatan awam,” katanya.

Akhir sekali, Hajiji turut menyentuh berkaitan penjawat awam negeri yang akan menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) separuh bulan gaji atau minimum RM1,000.

“Ini sebagaimana yang telah saya umumkan dalam Belanjawan Negeri 2022. Alhamdulillah, bantuan ini dapat kita berikan sebagai pengiktirafan kepada sumbangan besar anggota perkhidmatan awam selain mengambil kita pertambahan hasil negeri,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|