Hajiji tangkis dakwaan ‘hilang’ ketika PKP

Hajiji tangkis dakwaan ‘hilang’ ketika PKP

Kota Kinabalu: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menangkis dakwaan sesetengah pihak mengatakan beliau ‘hilang’ ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 yang lalu.

Sebaliknya, beliau menjelaskan, walaupun pergerakannya dan seluruh jemaah menteri ketika itu terbatas namun mereka tidak pernah berhenti bekerja, merangka dan mengerakkan jentera kerajaan untuk menangani krisis kesihatan itu.

“Dalam tempoh yang lama sepanjang PKP, pergerakan saya dan seluruh jemaah menteri amat terbatas dan tidak dapat turun padang meninjau serta bertemu rakyat secara bersemuka.

“Sehingga ada pihak yang mengambil kesempatan memainkan sentimen bahawa Ketua Menteri telah hilang. Hakikatnya, kita tidak hilang dan kita tidak pernah berhenti bekerja merangka serta menggerakkan usaha menangani krisis termasuk memastikan bantuan sampai kepada rakyat khususnya mereka yang terkesan secara langsung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Perhimpunan Pejawat Awam Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong.

Tambah beliau lagi, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 Negeri ketika itu sentiasa bersidang setiap hari bagi menangani pandemik Covid-19.

“Setiap hari tanpa henti juga, saya bersama Setiausaha Kerajaan Negeri selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana, memantau situasi pandemik di setiap kawasan serta memastikan pelaksanaan setiap tindakan yang diputuskan.

“Kita beroperasi melalui platform dan medium yang telah diaktifkan sepenuh masa di semua peringkat,” katanya.

Katanya, hasil kerjasama dan komitmen daripada semua pihak, kerajaan berupaya menggerakkan usaha berterusan menangani Covid-19 daripada pelbagai aspek termasuk kawalan, keselamatan, rawatan, vaksinasi hingga penyaluran bantuan kepada rakyat.

“Kerajaan negeri akan terus meletakkan keutamaan untuk menangani pandemik ini dengan strategi berfokus walaupun melibatkan kos yang besar.

“Sejak bermulanya krisis ini, kerajaan negeri membelanjakan peruntukan melebihi RM 1.2 bilion dan perbelanjaan ini merangkumi pelbagai aspek termasuk Pakej Bantuan Sabah Prihatin (BSP) yang meliputi bantuan tunai dan bantuan bakul makanan kepada golongan sasar.

“Kerajaan negeri juga amat menghargai pelbagai jenis bantuan yang disalurkan oleh kerajaan persekutuan sama ada melalui kerajaan negeri mahupun secara langsung kepada rakyat di Sabah,” katanya.

Sementara itu, menyentuh berhubung transformasi perkhidmatan awam di negeri ini, Hajiji berkata, penjawat awam adalah jentera yang penting dalam menentukan kejayaan agenda kerajaan khususnya pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Kita perlu sentiasa melihat dan melaksanakan usaha memperkasa transformasi perkhidmatan awam untuk memastikan kita mempunyai sebuah pasukan yang terbaik sejajar dengan cabaran dan tuntutan zaman.

“Saya memberikan sepenuh komitmen terhadap pelaksanaan sebarang inisitiaf pemerkasaan perkhidmatan awam negeri mahupun persekutuan.

“Antara keutamaan transformasi perkhidmatan awam adalah usaha memantapkan integriti dan profesionalisma, memperkasa sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan, menyemarakkan budaya kerja yang produktif, inovatif dan kreatif (PIK) dan membina mekanisme komunikasi strategik agar dasar dan program kerajaan boleh didengar, dilihat dan dirasai oleh rakyat,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|