Bakal cikgu sedih rumah terbakar, bahan pembelajaran musnah

Bakal cikgu sedih rumah terbakar, bahan pembelajaran musnah

Putatan: “Laptop, printer dan fail semuanya tidak sempat diselamatkan,” itu luahan seorang penuntut Institut Perguruan Guru (IPG) Kampus Kent Tuaran, Mimi Hasleyanie Masari, 22, selepas rumahnya antara yang musnah dalam kebakaran di Kampung Contoh, Petagas, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian yang bermula kira-kira jam 9 malam itu, difahamkan sebanyak 15 rumah musnah terbakar menyebabkan 76 penduduk terdiri daripada 17 ketua isi rumah (KIR) kehilangan tempat tinggal.

Mimi Hasleyanie.

Menurut Mimi Hasleyanie, ketika kebakaran berlaku, dia dalam perjalanan pulang ke asrama dan dihantar oleh ibunya sendiri.

“Ketika kami berada di Manggatal, tiba-tiba dapat panggilan daripada adik bahawa rumah kami terbakar. Kami segera berpatah balik dan dalam masa yang sama mengarahkan mereka yang berada di rumah supaya keluar segera untuk menyelamatkan diri.

Shahelmey ketika melawat tapak kebakaran di Kampung Contoh, Petagas, Putatan.

“Sebaik sampai di rumah, semuanya sudah hangus terbakar. Tiada satu pun yang sempat diselamatkan termasuk dokumen pengenalan diri adik beradik yang lain,” katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran di sini, hari ini.

Menurut ibunya pula, Hasrani Harun, 44, barang keperluan persekolahan dan wang tabungan anak-anak juga antara yang tidak sempat diselamatkan.

“Pakaian sekolah, buku dan wang tabung anak-anak serta barangan kemas sudah lebur semuanya.

“Tetapi saya tetap bersyukur, semua ahli keluarga termasuk anak-anak, bapa saya yang sudah berusia serta suami selamat daripada kejadian itu,” katanya.

Shahelmy ketika ditemui media.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, pihaknya sedang meneliti bantuan yang sesuai yang akan disalurkan kepada penduduk yang terjejas akibat kebakaran.

“Pusat pemindahan sementara (PPS) telah diwujudkan untuk penduduk yang terjejas supaya berpindah untuk sementara waktu namun saya dimaklumkan hanya enam keluarga yang melaporkan diri di PPS dan ada beberapa keluarga mangsa tinggal di tapak kebakaran ini manakala selebihnya menumpang di rumah keluarga yang terdekat.

“Untuk perancangan jangka panjang, kita dapatkan butiran laporan secara terperinci dan kita lihat bagaimana kerajaan boleh membantu mereka mengikut kriteria sama ada mungkin ditempatkan menerusi bantuan perumahan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang diumumkan kerajaan negeri baru-baru ini,” katanya yang turut meninjau lokasi kebakaran itu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|