Lelaki ditahan bersama 38.52 gram syabu

Lelaki ditahan bersama 38.52 gram syabu

Sandakan: Seorang lelaki yang dipercayai menjalankan aktiviti pengedaran dadah ditahan bersama 38.52 gram syabu dalam operasi di Kampung Sentosa, Batu 10, Jalan Labuk, di sini, malam tadi.

Lelaki berusia 35 tahun terbabit ditahan kira-kira jam 8.30 malam oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas pemantuan selama sejam di kawasan perkampungan berkenaan.

Paket plastik lutsinar berisi hablur jernih dipercayai syabu ditemui di rumah suspek.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, bertindak atas maklumat, pasukan operasi membuat serbuan dan pemeriksaan terhadap rumah suspek.

Katanya, hasil pemeriksaan menemukan enam paket plastik kecil lut sinar yang mengandungi ketulan hablur jernih yang dipercayai dadah jenis syabu.

Anggota PGA melakukan serbuan ke atas rumah suspek di Kampung Sentosa, Batu 10, Jalan Labuk, Sandakan.

“Selain itu, pasukan operasi turut menemui 14 gulungan kertas timah yang dipercayai untuk aktiviti penagihan dadah.

“Pemeriksaan seterusnya menemukan sebuah lagi kotak berwarna merah yang mengandungi tiga paket plastik besar lut sinar mengandungi dadah jenis syabu,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Abdul Rani berkata, semua dadah berkenaan dirampas dan suspek terus ditahan untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, semua dadah termasuk peralatan penimbang yang ditemui dianggarkan bernilai RM4,710 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan untuk siasatan dan tindakan selanjutnya,”katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|