Akibat panik, lelaki nekad terjun bangunan

Tawau: Terjun dari tingkat satu bagi mengelakkan diri daripada diperiksa pihak berkuasa yang melakukan serbuan di sebuah pusat hiburan, di sini.

Itu tindakan terdesak seorang lelaki warga asing berusia 23 tahun yang ditemui cedera parah sebelum disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tawau, hari ini.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku pada jam 1 pagi tadi apabila sepasukan polis menjalankan operasi pemeriksaan di sebuah pusat hiburan di Jalan Datuk Chong Thien Vun, di sini.

Katanya, pusat hiburan berkenaan didapati beroperasi melebihi masa dan pemeriksaan awal berjaya menahan lima individu termasuk seorang wanita berusia 17 hingga 45 tahun.

“Semua suspek ditahan selepas dipercayai masuk dan tinggal di negara ini tanpa dokumen diri yang sah selain pasukan serbuan turut merampas beberapa peralatan elektronik di pusat hiburan berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut di belakang premis berkenaan kemudiannya berjaya menahan seorang lelaki bersama mangsa yang berlumuran darah di atas jalan raya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Jasmin berkata, mangsa dipercayai terjatuh dari aras satu ketika cuba melarikan diri bagi mengelak daripada diperiksa.

“Suspek dihantar ke Hospital Tawau menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 8.38 pagi.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 3, Ordinan Hiburan Awam 1958 dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/1963,” katanya.

Menurutnya, satu siasatan terperinci secara telus bersabit kejadian suspek melarikan diri dan mengalami kecederaan sehingga menyebabkan kematian juga sedang dijalankan.

Sehubungan itu, Jasmin berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes berkenaan bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaraan masyarakat sehingga mengganggu siasatan.

Katanya, masyarakat juga dinasihatkan supaya tidak sesekali menularkan maklumat tidak sahih kepada umum.

“Sebarang maklumat berhubung kes ini boleh disalurkan kepada mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di talian 089-752222,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|