Bongawan: Kerajaan perlu menangani isu pencerobohan China di perairan dan ruang udara Malaysia di Laut China Selatan dengan lebih tegas.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan, Dr Daud Yusuf, berkata perbuatan negara berkenaan tidak boleh dianggap ringan kerana jelas mencabul kedaulatan negara.
Beliau berkata, ancaman itu semakin membimbangkan kerana Sabah dan Sarawak akan menjadi wilayah yang berada di barisan hadapan sekiranya isu geo politik itu tidak ditangani dengan segera.
Katanya, sejak tahun lalu pesawat pejuang ‘Halimunan’ China, J-20, dilaporkan berlegar di ruang udara Laut China Timur dan Laut China Selatan untuk melakukan rondaan dan latihan rutin, jelas melakukan pencerobohan.
“Alasan Kerajaan China yang kerap kali mengulangi mereka ‘sekadar’ menjalani latihan ketenteraan dan bertegas tidak merentasi mana-mana sempadan antarabangsa adalah tidak munasabah sama sekali.
“Tidak masuk akal sekiranya tindakan tidak terancang setelah pencerobohan maritim berlaku sebanyak 23 kali dalam tempoh 12 bulan lalu.
“Malah, rekod daripada Laporan Ketua Audit Negara Siri 3 (2018) memberi amaran melalui angka pencerobohan sebanyak 89 kali bermula pada 2016 hingga 2019,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Dr Daud turut mempersoalkan resolusi digerakkan Wisma Putra dan Kementerian Pertahanan (Mindef) bagi mempertahankan kedaulatan tanah air khususnya keselamatan rakyat di Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata, siri pencerobohan ruang angkasa dan maritim Borneo serta Pantai Timur Semenanjung yang berlaku selepas pandemik Covid-19 menggambarkan betapa Wisma Putra dan Mindef tidak mempunyai apa-apa pelan mitigasi dan pemulihan terhadap krisis itu.
Katanya, peristiwa di antara Tentera Udara China dan tentera negara memberi peringatan kesiapsiagaan negara untuk menghadapi situasi seumpama itu.
“Apakah tanda kehormatan kepada ‘Abang Besar’ China membolehkan mereka (Kerajaan China) bertindak sesuka hati?
“Malaysia tidak bersendirian dalam pertikaian ini, Filipina, Vietnam, Brunei semuanya telah mempertikaikan secara rasmi dalam konflik Laut China Selatan. Adalah jelas pendirian negara-negara ASEAN terhadap tindakan tidak berintegriti tentera China.
“Namun, setakat mana suara ini didengari Kerajaan China? Adakah cukup cubaan ‘memanggil Duta Besar China’ didendangkan pada media tempatan sekadar menjadi ubat tahan sakit tanpa bertemu penawar?,” soalnya.
Dr Daud berkata, Indonesia juga dikaitkan dengan pertikaian itu kerana sempadan maritim China yang berada dalam kawasan ‘nine-dashed-lines’ merentang ke bahagian utara wilayah Kepulauan Natuna, Indonesia.
Isu itu katanya, bukan sekadar isu dua hala, tetapi juga isu multilateral yang melibatkan sistem politik yang kompleks serta mempunyai insentif yang berbeza.
“Banyak yang terpaksa dikorbankan, banyak yang perlu diraih, tetapi malangnya, rakyat Sabah dan Sarawak akan menjadi benteng di barisan hadapan dalam konflik Laut China Selatan sekali gus memberi ancaman kepada rakyat Malaysia.
“Kerajaan harus mengambil sikap lebih tegas bagi menggesa semua pihak terlibat menghentikan pencerobohan mereka dan komited kepada rundingan damai. Tidak cukup dengan hanya bergema sentimen negara lain.
“Malaysia juga harus berpendirian teguh kerana isu geopolitik semasa yang menyelubungi perairan Malaysia kita dengan pencerobohan demi pencerobohan oleh negara besar di timur, kita mungkin berada dalam kedudukan sama seperti Ukraine,” tegasnya.
Dr Daud berkata, Malaysia harus bertindak secara kolektif bersama negara-negara ASEAN bagi mencapai resolusi dan kesefahaman bersama China bahawa tindakan mereka atas nama latihan atau tidak disengajakan amat mengguris perasaan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat.
Katanya, tidak wajar China menjadikan wilayah Malaysia sebagai proksi pertempuran di antara kuasa-kuasa besar dan sepatutnya kumpulan kuasa besar itu harus menyelesaikan pertikaian mereka tanpa menjadikan Laut China Selatan sebagai tempat menunjukkan kekuatan tentera.
“Tinggalkan rantau perairan Sabah dan Sarawak, rakyat Sabah dan Sarawak, ekonomi Sabah dan Sarawak, sumber Sabah dan Sarawak, untuk masa depan rakyat Sabah dan Sarawak.
“Keutamaan kita adalah keselamatan masyarakat Sabah dan Sarawak secara khusus, pada masa sama untuk kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia. Kegusaran masyarakat akan terus timbul dan risiko penjejasan ekonomi akan berlaku sekiranya hal ini tidak ditangani segera.
“Ketika Kerajaan Sabah dan Sarawak sedang giat membanteras pencerobohan dan keganasan berskala kecil, kerencaman politik antarabangsa bukan satu hal yang sesuai untuk diterima,” katanya.
ADUN Parti Warisan (WARISAN) itu berkata, krisis pencerobohan ruang udara dan maritim negara perlu segera dinoktahkan.
-Deasoka