Pelajar didedah jadi pemimpin berkesan organisasi

Labuan: Unit Kokurikulum Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB), baru-baru ini menganjurkan Kursus Kepimpinan Kokurikulum Kali Keenam bagi Tahun 2022, di Dataran Bedaun, di sini.

Kursus berkenaan disertai seramai 89 pelajar yang terdiri daripada ahli jawatankuasa (AJK) tertinggi kelab dan persatuan, sukan dan permainan serta persatuan badan beruniform.

Norazita bersama peserta Program Kepimpinan Kokurikulum SMKTPB, Labuan.

Program itu antara lain untuk memberi keyakinan dan pendedahan kepada pelajar yang memegang jawatan tertinggi dalam kelab dan persatuan untuk mengurus organisasi yang mereka ceburi di sekolah dengan baik.

Sebanyak dua slot diadakan iaitu pertama, berkaitan tugas dan tanggungjawab AJK induk yang disampaikan Cikgu Rosenani Farera Michael selaku Setiausaha Kokurikulum SMKTPB.

SMK Taman Perumahan Bedaun, Labuan mahu melahirkan pemimpin yang berwibawa.

Menerusi slot kedua pula, pelajar didedahkan mengenai Team Building yang dikelolakan oleh Unit Kokurikulum sekolah berkenaan.

Pengetua SMKTPB, Norazita Md Nor@Shamsuri, berkata program itu diharap dapat membantu guru penasihat dalam mengurus aktiviti kokurikulum di samping melahirkan generasi yang berkepimpinan bukan di sekolah, selain dapat dipraktikkan setelah tamat persekolahan.

Ketika menyempurnakan penutupan program itu, beliau turut menyatakan harapan agar pelajar yang dilantik menjadi AJK Induk Kelab dan Persatuan dapat memainkan peranan masing-masing sebagai pemimpin khususnya dalam organisasi masing-masing.

Tegasnya, kecemerlangan diri seseorang pelajar dapat dilihat menerusi penglibatan dalam aktiviti kokurikulum yang akan menyumbang kepada aspek pembinaan sahsiah diri, kepimpinan dan kecemerlangan akademik.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah atas pelantikan pelajar yang diberikan kepercayaan menjadi AJK Induk Kelab dan Persatuan di sekolah berkenaan.

Sementara itu, aktiviti Team Building menyaksikan kumpulan H2O muncul sebagai johan, manakala tempat kedua dimenangi kumpulan Psycho, diikuti tempat ketiga dimenangi kumpulan Ruby.

Turut hadir Penolong Kanan Kokurikulum, Lau Chin Ying dan AJK Induk Unit Kokurikulum SMKTPB, Labuan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|