Sang Badak cipta kejutan pesta gol di Pulau Pinang

Kota Kinabalu: Sabah FC membuktikan mampu melakukan kejutan menundukkan pesaingnya dengan jaringan yang besar meskipun berdepan cabaran bermain di gelanggang lawan.

Dengan keputusan 4-2 menundukkan Penang FC dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, Georgetown, Pulau Pinang malam tadi, jelas menampakkan kebolehan sebenar skuad Sabah FC hingga mampu berpesta gol.

Kemenangan itu turut memancarkan imej skuad Sang Badak yang kelihatan semakin gagah untuk terus mara sebagai antara pasukan disegani pada musim ini.

Dalam aksi malam tadi, Kapten Sabah FC, Baddrol Bakhtiar mencipta dua gol menarik masing-masing menerusi tandukan rendah dan libasan belakang di hadapan gawang Pulau Pinang pada minit ke-22 dan ke-61.

Dua gol lagi masing-masing dijaringkan Jackson de Souza pada minit ke-58 dan Stuart John Wilkin pada minit ke-66, sekali gus menyukarkan peluang Pulau Pinang untuk menghalang kemaraan skuad Sang Badak meskipun berjaya mengikat kedudukan pada awal babak kedua.

Pulau Pinang menyamakan kedudukan menerusi jaringan T Saravanan pada minit ke-52, namun kedudukan 1-1 itu hanya bertahan selama enam minit sebelum Jackson mencipta gol kedua untuk Sabah FC pada minit ke-58.

Tiga gol skuad Sang Badak sepanjang separuh masa kedua memang sukar dikejar meskipun Pulau Pinang mempunyai baki masa lebih 20 minit melakukan cubaan selepas gol terakhir Sabah FC.

Penang FC hanya berjaya menambah satu lagi gol pada minit ke-76 menerusi pemain importnya, Hilal El-Helwe menjadikan keputusan 4-2 yang memihak kepada Sabah FC kekal hingga ke akhir perlawanan.

Sementara itu, pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee memuji permainan anak buahnya yang bangkit melakukan serangan balas sejurus Pulau Pinang berjaya menyamakan kedudukan pada awal babak kedua perlawanan.

“Kalau mengikut perancangan awal, saya tidak menjangka kita mendapat empat gol dalam perlawanan malam ini tetapi pemain bangkit selepas gol penyamaan Pulau Pinang.

“Ini tahap yang sangat baik terutama keyakinan mereka untuk bangkit semula selepas Pulau Pinang menyamakan kedudukan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Kim Swee turut memuji kebolehan Badrrol yang mampu memanfaatkan peluang tanpa diduga pihak lawan menerusi dua aksi menariknya yang berjaya membolosi gawang Pulau Pinang.

Secara keseluruhan, katanya pemain Sabah FC mampu meneruskan permainan dengan bersemangat meskipun berdepan keletihan selepas terpaksa bermain 120 minit ketika aksi pusingan kedua Piala FA menentang Kelantan United di Stadium Likas pada Jumaat lalu.

Selepas perlawanan malam tadi, Sabah FC kini kembali ke kedudukan kedua carta Liga Super 2022 di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan mengumpul 15 mata menerusi tujuh perlawanan setakat ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|