Kilometer 19.2 Jalan Ranau- Kiulu runtuh

Tuaran: Jalan menghubungkan daerah Ranau dan Kiulu terpaksa ditutup selepas Jalan Pulak Pahu Nulu di kilometer 19.2, di sini, dilaporkan rumtuh akibat kegagalan cerun.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah Datuk Ir Ali Ahmad Hamid berkata, penutupan itu dibuat sejak kelmarin berikutan sebahagian besar jalan berkenaan runtuh sepenuhnya.

Syarikat penyelenggara jalan sudah diarahkan untuk membuat penutupan jalan dan pemantauan di lokasi tanah runtuh.

“Kejadian tanah runtuh itu menyebabkan sebahagian laluan di kawasan berbukit yang menghubungkan Kampung Lokos dan Kampung Pahu runtuh.

“Kejadian tanah runtuh disebabkan kegagalan cerun di laluan berstatus Jalan Negeri dan ianya dikategorikan sebagai merbahaya,”katanya.

Ali Ahmad berkata, kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 3 petang kelmarin yang berpunca daripada hujan berterusan.

“Syarikat penyelenggaraan jalan yang bertanggungjawab sudah diarahkan untuk ke lokasi bagi menjalankan pemantauan serta memasang papan tanda amaran.

“Laluan juga sudah ditutup untuk semua jenis kenderaan berikutan runtuhan tanah masih berlaku.

“Jalan berkenaan dikhuatiri akan terputus sepenuhnya pada bila-bila masa saja disebabkan cuaca hujan yang masih berterusan,” katanya.

Sehubungan itu, Ali Ahmad berkata, pengguna jalan raya khususnya dikawasan ini disarankan supaya menggunakan jalan alternatif iaitu laluan Jalan Tomis Tiong Lokub bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku.

“Pengguna jalan juga diingatkan supaya sentiasa berhati-hati dalam pemanduan dan peka dengan keadaan sekeliling jalan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|