Kota Kinabalu: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Dr Aliakbar Gulasan berhasrat untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Beliau yang juga Setiausaha PAS Sabah berkata, parti itu turut bercadang untuk meletakkan calon di beberapa kerusi Parlimen di negeri ini.
“PAS mengharapkan kita meletakkan calon pada PRU-15, kita berterus terang. Ada kerusi-kerusi yang kita yakin boleh menang dan gerak kerja sudah kita teruskan kepada masyarakat.
“Kita meletakkan sasaran pasti kita akan bertanding pada PRU walaupun kita tak sebutkan kerusi,” katanya ketika ditemui media selepas hadir pada Program Ziarah Sekolah Sempena Hari Guru 2022 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandaraya, di sini, hari ini.
Beliau bagaimanapun tidak menolak bahawa Parlimen Sepanggar antara kerusi yang yang disasarkan oleh PAS Sabah.
“Mungkin (Sepanggar), kalau media mengatakan begitu, saya katakan iya. Saya akan bertanding (PRU-15) InsyaAllah,” katanya.
Bercakap mengenai calon yang akan dikemukakan PAS Sabah, beliau berkata ketika ini pihaknya sudah mengenal pasti calon dan sudah berada di peringkat akhir perbincangan.
“Calon semua sudah ada, saya boleh katakan di peringkat akhir untuk menentukan calon-calon dan kita meletakkan calon di kalangan mereka yang profesional dan berpendidikan serta sebahagiannya adalah anak muda.
“Kita juga akan mencadangkan calon dari bukan Islam, paling kurang pun seorang, bagaimanapun, kita masih bincang secara dalaman,” katanya.
Mengulas berhubung perbincangan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengenai hasrat untuk meletakkan calon, PAS sentiasa mengutamakan perbincangan bersama dengan rakan politik yang ada.
“Ya pasti (perbincangan), kita meraikan kerjasama ini, kita tidak akan buat keputusan sendiri, PAS dari dulu, di mana-mana pun kita berkawan, kita akan mengutamakan perbincangan bersama,” katanya.
-Deasoka