90 Graduan Sabah diambil bekerja menerusi MySTEP

90 Graduan Sabah diambil bekerja menerusi MySTEP

Kota Kinabalu: Seramai 90 graduan universiti awam menamatkan program Inisiatif Latihan dan Penempatan Jangka Pendek (MySTEP) yang dilaksanakan syarikat Britay Asia (M) Sdn Bhd dengan kerjasama Pusat Kerjaya dan Pembangunan Keusahawanan Pelajar (PKPKP) Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Pengarah PKPKP UMS, Dr Soon Singh Bikar Sing berkata, program itu dilaksanakan selama dua minggu membabitkan peserta dari seluruh daerah di Sabah.

Taufiq menyampaikan sijil tamat latihan MySTEP kepada seorang peserta.

“Peserta terdiri daripada graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan graduan UMS sendiri.

“Kesemua peserta akan bekerja dengan pihak industri yang mana pembayaran gaji enam bulan pertama dibuat melalui syarikat Britay Asia (M) Sdn Bhd,” katanya ketika ditemui selepas majlis tamat latihan program MySTep Britay @UMS 2022, di Auditorium Pascasiswzah, di sini, baru-baru ini.

Majlis perasmiannya disempurnakan Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin dan turut dihadiri Pengarah Urusan Britay, Zuber Mohd Isa.

Menurut Soon, menerusi program itu graduan akan memperoleh pengalaman berharga dan pendedahan dalam pekerjaan dengan pihak industri.

“Mereka juga akan berpotensi diserap dan bekerja terus dengan pihak industri,” katanya.

Sementara itu, Taufiq dalam ucapannya, berkata MySTEP merupakan salah satu program Inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia yang menawarkan 80,000 peluang pekerjaan dalam sektor awam, syarikat milik kerajaan (GLC) dan rakan-rakan strategik.

“Saya percaya program ini bukan sahaja akan menjamin penempatan pekerjaan kepada peserta, bahkan sepanjang 14 hari pelbagai pengisian seperti latihan kemahiran insaniah, taklimat industri dan sesi temuduga dijalankan melibatkan hampir 40 industri.

“Kepada semua peserta, perjalanan kerjaya anda telah pun bermula. Harungilah dengan penuh dedikasi, semangat dan keikhlasan. Jangan pernah berasa ragu dengan potensi diri,” katanya.

Terdahulu, Zuber dalam ucapan aluannya memaklumkan program MySTEP diperkenalkan untuk menangani pengangguran, meningkatkan kebolehpasaran dan merangsang pemulihan ekonomi domestik.

“Program ini ditaja oleh Khazanah Nasional. Di pihak Britay Asia pula, kita diberi tanggungjawab sebagai pengurus pelaksana.

“Kerjasama penganjuran bersama UMS ini merupakan yang julung kalinya diadakan di Sabah,” ujarnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|