326 murid warga Indonesia terima vaksin Covid-19 dos kedua di Tawau

Tawau: Seramai 326 murid Indonesia dari Community Learning Center (CLC) di daerah ini menerima suntikan vaksin Covid-19 bagi dos kedua, hari ini.

Menurut kenyataan Konsulat Republik Indonesia (KRI) Tawau, pemberian vaksin itu adalah dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Antara murid warganegara Indonesia yang hadir mendapatkan vaksin Covid-19 dos kedua di bangunan KRI Tawau.

Kenyataan itu berkata, program itu dilaksanakan bermula jam 8.30 pagi sehingga 2 petang di bangunan KRI Tawau.

Semua murid yang menerima vaksin itu sebahagian besarnya merupakan anak-anak Pekerja Migran Indonesia (PMI) dari CLC Holy Trinity, Bambu Kuning, SLDB Apas Balung, Indra Sabah,Tunas Perwira dan Sungai Balung.

Semua murid yang diberikan vaksin bermula dari usia lima hingga 12 tahun itu hadir bersama penjaga atau guru masing-masing selepas ia dipersetujui oleh ibu bapa atau penjaga yang diisi menerusi aplikasi MySejahtera.

Kesemua mereka dilakukan konsultasi terlebih dahulu daripada doktor sebelum diberikan suntikan vaksin dan dikemas kini dalam MySejahtera.

Vaksin pertama dan kedua yang diberikan kepada murid jenis Pfizer manakala bagi dos penggalak turut disediakan Pfizer dan Sinovac.

Sementara itu, Konsul Republik Indonesia Tawau, Heni Hamidah turut meninjau perjalanan pemberian vaksin selain turut bertemu dengan pasukan KKM dan guru-guru bagi menyokong supaya program seperti itu dapat dilaksanakan lagi dan lebih ramai kanak-kanak PMI atau murid mendapatkan vaksin.

Kegiatan itu merupakan komitmen KRI Tawau dalam memberikan perlindungan kepada warganegaranya dan menyokong usaha kerajaan Malaysia dalam mempercepat pembentukan imuniti kelompok.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|