Jawatan dalam UPKO terbuka untuk dipertandingkan

Jawatan dalam UPKO terbuka untuk dipertandingkan

Kota Kinabalu: Setiap jawatan dalam Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) terbuka untuk dipertandingkan dan disertai semua ahli parti.

Presidennya, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, UPKO akan mengadakan Perhimpunan Agung Tritahunan pada tahun ini.

“Seperti semua parti politik, sudah tentu akan ada ahli parti yang ingin mengambil peluang untuk menyumbang kepada kemajuan parti dengan mahu memikul tanggungjawab yang lebih besar dalam parti.

“Di UPKO, kami mengalu-alukan semangat dan komitmen seperti itu daripada ahli-ahli kami.

“Setiap jawatan, bermula dari ahli jawatankuasa cawangan sehingga jawatan Pengerusi Tetap, terbuka untuk dipertandingkan dalam semangat proses demokrasi dan bimbingan perjuangan parti untuk rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran turut berkata, UPKO memahami cabaran yang dihadapi dan sebagai pembangkang akan mengundang pelbagai idea serta cadangan bagaimana parti harus meletakkan dirinya membawa teraju perjuangan untuk berkhidmat dengan lebih baik kepada rakyat.

“Lebih-lebih lagi ketika Pilihan Raya Umum (PRU) semakin hampir.

“Namun apa yang penting adalah saya yakin dan berasa selesa apabila mengetahui pemilihan pucuk pimpinan baharu pada Perhimpunan Agung Tritahunan pada tahun ini akan berlandaskan kepada usaha memastikan perpaduan, kekuatan dan keikhlasan dalam perjuangan UPKO sentiasa terpelihara, dijaga dan dipertahankan,” katanya.

Semalam, Naib Presidennya, Datuk Ewon Benedick secara terbuka memaklumkan bahawa beliau bersedia untuk mencabar Madius bagi jawatan Presiden parti ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tritahunan UPKO Kota Belud di Dewan Kadamaian Square, Taginambur, Kota Belud.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|