WARISAN nafi ada rundingan tubuh kerajaan baharu dengan UMNO

WARISAN nafi ada rundingan tubuh kerajaan baharu dengan UMNO

Kota Kinabalu: Parti Warisan Sabah (WARISAN) tidak mempunyai sebarang rundingan atau perbincangan dengan mana-mana parti politik termasuk UMNO bagi menubuhkan kerajaan baharu di Sabah.

Ketua Penerangannya, Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari, menegaskan andaian pelbagai pihak kebelakangan ini mengenai kemungkinan penjajaran baharu politik Sabah itu tidak akan berlaku.

Katanya, banyak pihak melontarkan pandangan mengenai WARISAN yang antara lain meramalkan bakal menggantikan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dikatakan akan gugur pada bila-bila masa.

“Oleh kerana banyak andaian yang dikeluarkan blogger dan penganalisis politik, perlu saya tegaskan di sini bahawa WARISAN tiada berunding atau berbincang dengan mana-mana parti politik termasuk UMNO untuk menubuhkan kerajaan Sabah yang baharu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas itu menegaskan WARISAN adalah parti pembangkang yang fokus dalam perjuangan untuk kebaikan rakyat Sabah dan Malaysia.

Jelasnya, WARISAN mahu meletakkan fungsi kerajaan ke landasan yang betul dan mematuhi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta menghapuskan rasuah.

“WARISAN komited dalam perjuangan ini dan akan bekerja keras agar rakyat memahami dan menyokong perjuangan parti ini,” katanya.

Sebelum ini, terdapat laporan daripada portal yang mendakwa Sabah bakal mendapat kerajaan baharu yang lebih progresif menerusi gabungan Barisan Nasional (BN) dan WARISAN.

Portal itu turut mendakwa, desas-desus semakin bertiup kencang dan penganalisis politik menjangkakan kerajaan baharu itu akan terbentuk dalam masa terdekat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|