Penampang: Seorang wanita warga China parah melecur di kepala hingga ke bahagian kaki selepas dapur gas rumahnya di Kondominium mewah di Jalan Kobusak, meletup hari ini.
Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, mangsa berusia 25 tahun terbabit dikatakan sedang melakukan kerja-kerja masak sebelum dapur gas tiba-tiba meletup.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Jamaluddin Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.04 tengah hari.
Katanya, sepasukan 14 anggota dan pegawai bersama dua jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dari BBP Penampang dan Kota Kinabalu dikerah ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa berada dalam keadaan sedar namun mengalami kecederaan melecur tahap dua daripada kepala hingga ke bahagian kaki.
“Mangsa terus diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke zon merah Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) untuk rawatan selanjutnya,” katanya dalam ketika dihubungi, hari ini.
Jamaluddin berkata, operasi berjaya dikawal pada jam 12.30 tengah hari bagi memastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.
Katanya, pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.25 petang.
-Deasoka