Wanita OKU temui cinta sejati, terima kekurangannya

Wanita OKU temui cinta sejati, terima kekurangannya

Kuala Lumpur: Cacat sejak lahir dan terpaksa bergantung sepenuhnya dengan kerusi roda bukan penghalang seorang pereka grafik menemui cinta sejati apabila disunting menjadi suri hati kepada pasangan yang dikenali sejak 10 tahun lalu.

Video Aida Fazira Mohd Alias, 27 dan suaminya Mohd Faridzal Idris, 28, tular di media sosial selepas dimuat naik melalui sebuah akaun Tiktok @takutbinibrand mendapat perhatian netizen yang terharu dengan pasangan pengantin berkenaan.

Aida Fazira yang cacat pada anggota kaki didukung oleh ahli keluarganya dalam majlis persandingan yang berlangsung di kediamannya di Teluk Intan, Perak.

Video berdurasi 54 saat itu memaparkan saat manis apabila Aida yang tidak dapat berjalan didukung oleh ahli keluarganya sebelum diserahkan kepada pengantin lelaki yang tiba untuk majlis persandingan di kediaman mereka di Teluk Intan, Perak.

Menurut Aida Fazira, dia mengenali suaminya melalui Facebook dan mula bercinta sejak 2011 sebelum melangkah ke fasa yang lebih serius dengan mengikat tali pertunangan pada tahun lalu.

Video majlis persandingan Aida Fazira dan suaminya, Mohd Faridzal tular di media sosial apabila memaparkan pengantin perempuan didukung oleh ahli keluarganya sebelum diserahkan kepada pengantin lelaki.

“Pada mulanya saya tidak yakin bahawa suami boleh menerima saya dan saya telah berterus terang kepadanya bahawa saya seorang orang kurang upaya (OKU) dari segi fizikal sejak lahir.

“Saya terpaksa bergantung sepenuhnya dengan kerusi roda kerana tidak dapat berjalan di mana saya tiada kaki sebelah kanan manakala kaki sebelah kiri kecil dan pendek.

“Tetapi ketika itu dia tetap meneruskan niat untuk berkawan dengan saya selepas kami bertemu dan akhirnya kami bertunang sebelum memutuskan untuk bernikah pada 18 Disember lalu dan majlis bersanding semalam,” katanya ketika dihubungi Deasoka, hari ini.

Menurut anak ke lapan daripada sembilan beradik itu, dia sangat terharu dan sebak apabila suaminya menerima keadaan dirinya yang tidak sempurna.

“Sebelum menerima lamaran, saya katakan padanya supaya fikir sedalam-dalamnya kerana hidup sebagai suami isteri bukan untuk sehari tetapi selama-lamanya.

“Sudah tentu saya ada perasaan rendah diri dengan kekurangan saya ada tetapi apabila memikirkan keikhlasannya yang sanggup datang dari Kuala Lumpur ke Perak dengan menaiki bas untuk bertemu dengan saya, selain kami sudah lama bercinta membuatkan saya menerimanya sepenuh hati.

“Arwah ibu saya juga bersetuju dan merestui hubungan kami. Alhamdulillah memang jodoh dengan dia dan saya bersyukur kerana dia menerima seadanya kekurangan saya dan apa juga kekurangannya saya terima kerana saya sedar hidup ini perlu saling melengkapi dan sedar keadaan diri saya yang tidak sempurna,” katanya.

Mengulas mengenai video yang tular, Aida Fazira yang juga pemegang Ijazah dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) mengakui memang semua ahli keluarganya kelihatan gembira di dalam video itu namun sebenarnya mereka semua sedih dan sebak apabila mereka terpaksa melepaskannya kepada suami.

“Kakak dan abang semua sedih kerana mereka terpaksa melepaskan insan istimewa bagi mereka,” katanya.

Aida Fazira dalam pada itu menasihatkan orang diluar sana supaya sentiasa berfikiran positif dan menerima takdir yang tertulis.

“Kita harus pandai mengawal emosi, tipulah saya tidak rasa rendah diri dan tak sedih tetapi saya kena fikir positif.

“Kita rasa kita ada kekurangan tetapi kita ada kelebihan yang Allah beri jadi kena bersyukur,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|