Arab Saudi disenarai negara berisiko tinggi varian Omicron

Arab Saudi disenarai negara berisiko tinggi varian Omicron

Kota Kinabalu: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setakat ini menyenaraikan 10 negara berisiko tinggi yang dikaitkan dengan jangkitan varian Omicron Covid-19 termasuk yang terbaharu, Arab Saudi.

Sembilan negara lagi ialah Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Norway, Perancis, India, Denmark, Kanada dan Nigeria.

Berdasarkan maklumat dikongsikan di laman Facebook KKM, pengunjung atau rakyat negara ini yang baru balik dari Arab Saudi diwajibkan mematuhi protokol yang ditetapkan dalam usaha mencegah penularan varian Omicron bermula esok (27 Disember).

Selain negara berisiko tinggi itu, beberapa negara lain turut dikenakan sekatan perjalanan sementara bagi menghalang penularan varian Omicron antaranya Afrika Selatan, Botswana, Ewastini, Lesotho, Mozambique, Namibia, Zimbabwe dan Malawi.

Sabah turut menguatkuasakan protokol atau tatacara kemasukan yang sama dalam usaha menghalang penularan varian Omicron di negeri ini dan sudah mengeluarkan arahan serta merta untuk menguatkuasakannya.

Tatacara itu wajib dipatuhi semua pengembara yang tiba dari negara yang dikenakan sekatan perjalanan sementara dan negara yang dikenal pasti berisiko tinggi berdasarkan senarai terkini yang dikeluarkan KKM dan Jabatan Imigresen atau mempunyai sejarah perjalanan dalam tempoh 14 hari ke negara-negara terbabit.

Antara syarat dikenakan apabila memasuki Sabah dimestikan melakukan ujian pengesanan Covid-19 (RT-PCR) dua hari sebelum berlepas dari mana-mana negara yang disenaraikan dan membuat deklarasi e-Health (eHDF).

Semua pengembara yang masuk ke Sabah dari luar negara juga perlu mendapatkan kelulusan khas Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan melalui laman https://phedra wixsite.com/website.

Selain itu, Ujian RT-PCR juga perlu dilakukan ketika ketibaan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) Pertama ke Malaysia.

Setelah tiba, semua pengembara dari luar negarai perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di stesen kuarantin yang ditetapkan di PMA Pertama, tanpa mengira status vaksinasi, manakala kuarantin di rumah adalah tidak dibenarkan.

Sabah tidak memebanarkan mana-mana individu meneruskan perjalanan ke negeri ini atau ke destinasi lain di Sabah sehingga lengkap tempoh kuarantin.

Selain itu, keputusan ujian swab Ujian RT-PCR pada hari ke-10 perlu negatif sebelum diberi kebenaran penamatan daripada kuarantin tetapi penilaian risiko masih diteruskan pada hari ke-14 dan lanjutan kuarantin sekiranya perlu.

Selain negara yang dikenakan sekatan perjalanan dan berisiko tinggi, Sabah juga akan menguatkuasakan tatacara sama kepada semua pengunjung atau pengembara dari negara lain bermula 8 Januari depan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|