Empat rumah dan kedai runcit musnah terbakar

Empat rumah dan kedai runcit musnah terbakar

Kunak: Empat keluarga hilang tempat tinggal selepas empat rumah musnah terbakar dalam kejadian di Kampung Jaya Baru, di Jalan Kunak, di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, sebuah kedia runcit yang terletak berhampiran turut hangus dimamah api kebakaran.

Anggota memadam kebakaran rumah di Kampung Jaya Baru, Kunak. Pix Ihsan Bomba

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.45 pagi

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan lima anggota dan pegawai bersama sebuah jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, api sudah membakar sebahagian besar keempat-empat rumah berkenaan dan operasi pemadaman terus dijalankan.

“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 100 meter dengan dua pancutan dari sumber air dari jentera dan air perigi,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, tiada sebarang mangsa kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dan api berjaya dikawal pada jam 2.27 pagi.

Katanya, pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.44 pagi.

“Bahagian Forensik JBPM akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti punca kebakaran dan jumlah kerugian dalam insiden kebakaran ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|