Semporna: Seorang wanita berusia 40 tahun cedera di muka dan badan dipercayai dibelasah kenalan barunya dalam kejadian di Jalan Kuala Bebang, di sini, semalam.
Tidak cukup dengan itu, mangsa yang bekerja sebagai tukang cuci di sebuah hotel di Pekan Semporna, di sini, turut disamun lelaki terbabit.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan orang awam pada jam 6.50 pagi berhubung penemuan mangsa yang terbaring di atas jalan.
Katanya, siasatan awal mendapati, sehari sebelum itu, mangsa dikatakan keluar dengan seorang lelaki yang baru dikenali menaiki sebuah motosikal ke tempat kejadian.
“Suspek kemudiannya dipercayai memukul mangsa gunakan helmet sebelum melarikan beberapa barangan milik mangsa.
“Antara yang dilarikan suspek adalah beg tangan yang mengandungi dokumen penting, telefon bimbit dan wang tunai sebanyak RM500,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mohd Farhan berkata, mangsa kini sedang dirawat di Hospital Tawau dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Katanya, pihak polis sedang giat berusaha untuk kesan dan menahan suspek yang terbabit dalam kes ini.
“Orang awam dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah percaya dengan mana-mana individu yang baru dikenali.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan,” katanya.
-Deasoka