Vaksinasi di Sabah berjalan lancar: Shahelmey

Vaksinasi di Sabah berjalan lancar: Shahelmey

Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri mencatatkan pencapaian pemberian vaksin penduduk dewasa adalah sebanyak 59.4 peratus bagi dua dos dan 72.1 peratus bagi dos pertama di Sabah.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Shahelmey Yahya berkata, sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dimulakan, negeri ini telah menerima sebanyak 5,042,310 dos vaksin dan dimaklumkan bahawa sekitar 900,000 ribu dos lagi akan sampai ke negeri Sabah pada minggu ini.

“Ini bermakna bahawa bekalan vaksin bagi negeri Sabah adalah mencukupi untuk kita menjalankan program imunisasi.

“Buat masa ini terdapat 46 buah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam, 12 buah PPV Integrasi, 1 buah PPV IPTA, 81 buah PPV Kesihatan, 83 buah PPV Swasta dan 1 buah PPV PIKAS dengan keseluruhan kapasiti sebanyak 83,140 dos sehari,” katanya.

Beliau yang juga Exco Kesihatan Negeri Sabah itu berkata demikian dalam ucapan penggulungan mesyuarat pertama penggal kedua DUN Sabah ke-16, di Kota Kinabalu, hari ini.

Sementara itu, mengulas lanjut, dalam usaha meningkatkan lagi bilangan penduduk negeri diberikan vaksinasi, Shahelmey berkata, pendekatan secara outreach sedang diperhebatkan dari semasa ke semasa.

“Sejak ia dimulakan, sebanyak 733 program outreach telah dilaksanakan dan ini melibatkan 358,284 penduduk dan dijangka sebelum penghujung bulan September ini, sebanyak 268 program outreach lagi akan diadakan,” katanya.

Berhubung Program Imunisasi Remaja bagi golongan 12 dan 17 tahun, beliau berkata, Sabah merupakan negeri terawal yang melaksanakan program berkenaan dan ia menerima sambutan amat menggalakan.

“Sejak 16 sehinggalah 21 September lalu kita telah mencapai peratusan pemberian dos pertama kepada golongan remaja ini sebanyak 33.8 peratus,”katanya.

Mengakhiri penggulungan beliau, Shahelmey yang juga Pengarah Operasi Program Imunisasi Negeri Sabah itu turut menyeru, semua wakil rakyat yang ada di negeri Sabah sama ada daripada pihak Kerajaan ataupun di pihak pembangkang untuk berkerjasama dan berganding bahu mengeluarkan, menyedarkan rakyat mengenai betapa pentingnya untuk mendapatkan imunisasi Covid-19.

“Marilah kita sama-sama menjayakan usaha untuk mencapai imuniti kelompok kerana dengan berjayanya program imunisasi ini ianya akan menjamin keselamatan kita bersama sebagai rakyat Sabah dan warga Keluarga Malaysia,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|