DUN Sabah: Telaga tiub atasi masalah air di Kota Belud

DUN Sabah: Telaga tiub atasi masalah air di Kota Belud

Kota Kinabalu: Dua telaga tiub yang dibina di dua loji rawatan air (LRA) di Kota Belud disasar dapat mengurangkan gangguan bekalan air yang dialami penduduk daerah itu ketika ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata telaga tiub itu dibina di LRA Bayayat dan LRA Pekan Kota Belud melalui Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB).

Katanya, bagi telaga tiub di LRA Bayayat, ia dijangka siap pada akhir tahun ini, manakala telaga tiub di LRA Pekan Kota Belud, kerja pembinaan dijadual bermula pada tahun depan.

“Objektif pelaksanaan kedua-dua projek telaga tiub ini adalah sebagai alternatif pengambilan air mentah bawah tanah sekiranya berlaku gangguan operasi muka sauk di kedua-dua LRA Bayayat dan Pekan Kota Belud akibat kekeruhan air yang tinggi di Sungai Kadamaian.

“Selain itu juga, bagi menangani kekurangan bekalan air, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) akan mencadangkan kajian penambahan sebuah LRA dengan sumber air mentah dari Sungai Wariu yang kurang terjejas kesan daripada gempa bumi pada 2015.

“Cadangan ini akan dimasukkan dalam Rolling Plan Ketiga Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12),” katanya menjawab soalan Datuk Seri Salleh Said Keruak (UMNO – Usukan) mengenai masalah air di Kota Belud pada sesi soal jawab Persidangan DUN Sabah, hari ini.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri, berkata pada masa ini terdapat tiga LRA yang membekalkan air terawat di LRA Pekan Kota Belud, LRA Bayayat dan LRA Pandasan dengan jumlah kapasiti reka bentuk sebanyak 43 Juta Liter Sehari (JLH).

Katanya, permintaan semasa pengguna pada ketika ini ialah 42.1 JLS, namun daerah ini berdepan masalah bekalan aiir mencukupi selepas kejadian gempa bumi berpusat di Gunung KInabalu pada 5 Jun 2015 yang menyebabkan Sungai Kadamaian sering mengalami banjir lumpur dan pasir apabila hujan lebat di kawasan tadahan.

Dalam pada itu, Bung Moktar, berkata JANS juga meluluskan projek mengurangkan kadar kehilangan air tidak berhasil (NRW) melalui Program Pembangunan Bekalan Air Sabah dalam RMKe-12 2021-2025.

Projek itu katanya bertujuan untuk mengatasi masalah kehilangan air tidak berhasil yang disebabkan kebocoran dan kecurian air serta memperbaiki sistem pengagihan air kepada pengguna.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|