Kota Kinabalu: Operasi Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) akan dirombak dalam usaha meningkatkan keberkesanan perkhidmatan pembekalan air bersih di Sabah.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata kerajaan negeri akan mencari kaedah baharu untuk menambah baik perkhidmatan JANS bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air yang sering berlaku ketika ini.
Katanya, banyak masalah dihadapi dalam perkhidmatan pembekalan air yang dikendalikan JANS ketika ini termasuk berkaitan peruntukan dan operasi loji rawatan air (LRA).
“Ini masanya kita rombak operasi JANS, kita cari kaedah baharu untuk membekalkan air di Sabah.
“Beri saya tempoh setahun dua ini untuk menentukan halatuju baharu pembekalan air di Sabah dalam usaha mengatasi masalah yang dihadapi ketika ini,” katanya pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Salleh Said Keruak (UMNO – Usukan) mengenai usaha kerajaan menangani isu bekalan air di Sabah.
Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri, berkata situasi pembekalan air di Sabah ketika ini berpunca daripada perubahan semasa yang menyebabkan keupayaan LRA merosot.
“LRA yang kita bina antara 25 tahun hingga 40 tahun dulu di sungai yang dulunya bersih, cantik dan tiada pencemaran kini kebanyakannya sudah tercemar.
“Apabila tercemar, ia akan menjejaskan pemprosesan dan pembekalan air kepada pengguna. Untuk mencari sungai yang belum tercemar dan sesuai untuk membina LRA juga semakin sukar,” katanya.
Mengulas lanjut, Bung Moktar berkata Sabah juga tidak menerima peruntukan langsung daripada kementerian persekutuan yang menjaga soal air kerana pengurusan air terletak dalam bidang kuasa negeri.
Bagaimanapun, katanya beliau sudah berjumpa dengan Menteri Kewangan dan mencadangkan beberapa perkara bagi membantu mengatasi masalah dan kekangan yang dihadapi.
“Saya faham bagaimana perasaan pengguna yang berdepan dengan ketiadaan air.
“Namun, sekarang ini, masalahnya kalau empat jam hujan, LRA di Kota Belud, Tuaran, Beaufort, Penampang dan Tawau tenggelam akibat banjir, menyebabkan air tidak dapat diproses. Jadi ini yang kita hadapi,” katanya.
Menjawab satu lagi soalan tambahan dibangkitkan Mohamad Mohamarin (WARISAN – Banggi) mengenai masalah air di Pulau Banggi, Bung Moktar berkata, masalah bekalan air ketika ini berlaku di seluruh negeri.
Jelasnya, bukan setakat masalah gangguan bekalan air, malah masih ramai rakyat di seluruh negeri tidak mendapat kemudahan bekalan air paip termasuk di kawasannya sendiri di Kinabatangan.
-Deasoka