Susulan isu kerosakan Jalan Beaufort-Sipitang: Sediakan laluan alternatif untuk pengguna – Ruslan Muharam

Susulan isu kerosakan Jalan Beaufort-Sipitang: Sediakan laluan alternatif untuk pengguna – Ruslan Muharam

Beaufort: Pihak kontraktor yang melaksanakan projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo diminta supaya membuat laluan alternatif untuk digunakan pengguna jalan raya bagi laluan Beaufort-Sipitang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Ruslan Muharam berkata, isu jalan rosak dan berlubang yang berlaku di jalan berkenaan sudahpun dibawa ke dalam Mesyuarat Penuh Khas Majlis Daerah Beaufort ketika perbincangan mengenai pelaksanaan projek Pan Borneo dilakukan.

Katanya, perkara itu juga turut disampaikan kepada pihak kontraktor yang melaksanakan kerja pembinaan Lebuhraya Pan Borneo terutama kawasan di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan.

“Laluan utama antara Beaufort-Sipitang memang sedang dinaik taraf ketika ini namun dalam masa sama ia telah menyukarkan pengguna jalan raya sehingga kita menerima banyak aduan mengenainya.

“Jadi, saya telahpun hadir pada mesyuarat Majlis Daerah Beaufort dan kontraktor yang terlibat juga kita telah bawa bersama dalam perbincangan itu.

“Dalam mesyuarat itu saya telah menekankan kepada pihak kontraktor bahawa mereka harus bertanggungjawab untuk memastikan laluan alternatif dibuat demi keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya dapat diutamakan,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Beliau berkata, walaupun jalan itu sedang dalam pembinaan tetapi ia juga menjadi alat penghubung utama antara dua daerah berkenaan.

“Pembinaan Lehuhraya Pan Borneo itu bukan satu pembinaan jangka pendek dan mungkin menggunakan masa yang panjang untuk menyiapkannya.

“Jadi sebab itu laluan-laluan alternatif perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin supaya boleh dilalui oleh semua pengguna dengan selesa dan selamat,” katanya.

Jelas Ruslan lagi, jalan raya itu bukan digunakan semata-mata sebagai laluan untuk pengguna jalan raya berulang alik pergi dan balik kerja saja sebaliknya turut digunakan untuk fasiliti kesihatan ke daerah lain.

“Seperti yang tular baru-baru ini di media sosial terdapat ambulans dari Sipitang yang membawa pesakit ke Kota Kinabalu mengalami pecah tayar apabila menggunakan laluan itu.

“Ini yang harus dilihat oleh pihak kontraktor kerana ia bukan saja digunakan untuk laluan pergi dan balik untuk mereka yang bekerja tetapi juga untuk fasiliti kesihatan dan melibatkan usaha untuk menyelamatkan nyawa manusia,” katanya.

Sehubungan itu, Ruslan berharap ada perkembangan daripada pihak berkaitan mengenai isu jalan raya berkenaan selepas perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat terbabit.

“Selepas mesyuarat baru-baru ini, kita akan lihat perkembangannya dan apa tindakan daripada pihak berkenaan.

“Sekiranya tiada tindakan, kita berusaha sedaya upaya kita untuk mengatasi masalah ini,” ujarnya.

Terdahulu, beliau memaklumkan bagi kawasan DUN Lumadan, laluan yang sedang dinaik taraf hanya membabitkan kira-kira 20 kilometer iaitu dari sempadan Kampung Melalia, Sipitang ke Pekan Beaufort.

“Laluan yang kritikalpun bukan di sepanjang 20 kilometer itu dan hanya beberapa bahagian saja. Maknanya tidak begitu sukar untuk diperbaiki,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|