Pemimpin PKR akui terima khabar angin ADUN pembangkang keluar parti

Pemimpin PKR akui terima khabar angin ADUN pembangkang keluar parti

Kota Kinabalu: Khabar angin mengenai kemungkinan beberapa lagi pemimpin politik pembangkang di Sabah keluar parti bertiup kencang semula sejak beberapa hari lalu.

Perkara itu turut diakui pemimpin parti pembangkang yang ditanya mengenai kesahihan berita terbabit, namun belum ada kepastian yang dapat dikongsikan sama ada benar atau hanya spekulasi.

Bagi Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan, PKR Sabah, Razeef Rakimin berkata beliau sudah dimaklumkan mengenai khabar angin itu beberapa hari lalu namun enggan mengesahkan kesahihannya.

“Hari ini saya dihubungi beberapa wakil media bertanya tentang kesahihan kerjasama antara Datuk Christina Liew, Datuk Peter Anthony, Peto Galim serta beberapa ADUN Warisan yang akan mengambil alih sebuah parti politik tempatan bagi menubuhkan parti baharu.

“Saya telah maklum akan ‘khabar angin’ ini sejak beberapa hari lalu namun adalah lebih baik sebarang pengesahan mahupun penafian dibuat oleh individu yang dinyatakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Spekulasi tersebar mengatakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Peter Anthony yang juga Naib Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan beberapa lagi wakil rakyat pembangkang yang lain termasuk Christina yang juga Pengerusi PKR Sabah akan bertindak keluar parti.

Mengulas lanjut, Razeef berkata sebelum ini pihaknya juga ada menerima laporan mengenai tawaran dan ugutan yang dibuat terhadap ADUN pembangkang di Sabah terutama mereka yang mempunyai kes mahkamah.

“Pada pandangan saya politik jijik seperti ini perlu dihentikan apatah lagi negara sedang cuba keluar dari krisis pandemik Covid-19 yang terbantut akibat kemasukan varian Omicron.

“Percaturan politik jijik seperti ini telah mengorbankan nyawa ribuan rakyat Malaysia akibat penularan wabak Covid-19 yang meningkat berpunca dari Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada pemimpin politik untuk fokus membantu rakyat yang cuba bangkit daripada krisis ekonomi.

Tegasnya, sekarang bukan masa yang sesuai untuk mengugut dan membeli wakil rakyat pembangkang.

“Kita tidak mahu peristiwa hitam penularan wabak Covid-19 berulang apatah lagi ketika korban akibat wabak Covid-19 di negara ini telah mencapai 30,000 jiwa serta penularan varian Omicron,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|