PPM rampas peralatan bom ikan

PPM rampas peralatan bom ikan

Lahad Datu: Seorang lelaki bertindak melarikan diri apabila dikejar Pasukan Polis Marin (PPM) selepas cuba diperiksa dalam operasi di perairan Pulau Sakar, di sini, hari ini.

Lelaki yang menaiki sebuah perahu terbabit dipercayai nekad menghilangkan diri kerana enggan ditahan ekoran menjalankan aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan atau bom ikan.

Perahu bersama peralatan bom ikan yang dirampas PPM Lahad Datu.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Lahad Datu, Superintendan Gan Ping Sin berkata, sebaik mengesan perahu berkenaan dalam keadaan mencurigakan, pasukan operasi cuba mengejar sebuah perahu berkenaan untuk pemeriksaan.

Bagaimanapun katanya, suspek berjaya menghilangkan diri dengan meninggalkan perahu di kawasan Pulau Malamok, di sini.

“Pemeriksaan terhadap perahu yang ditinggalkan itu membawa kepada penemuan barang salah.

“Antara yang ditemui ialah beberapa botol berisi baja ammonuium nitrat yang dipercayai digunakan untuk tujuan bom ikan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, semua barang rampasan berkenaan dibawa ke Markas Operasi PPM Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

Katanya, nilai rampasan dalam operasi berkenaan dianggarkan berjumlah RM1,400 dan kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985.

Sehubungan itu, Gan berkata, PPM sentiasa menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat melalui aplikasi whatsApp Pasukan Polis Marin Wilayah empat Sabah di nombor 013-9391197.

Katanya, maklumat juga boleh disalurkan dengan berhubung terus ke mana-mana balai polis berdekatan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|