Menteri, pemimpin dilihat gagal tangani banjir dengan wajar

Menteri, pemimpin dilihat gagal tangani banjir dengan wajar

Kota Kinabalu: Tindakan pemimpin termasuk menteri berhubung bencana banjir yang menimpa penduduk beberapa negeri di Semenanjung ketika ini menimbulkan pelbagai reaksi yang menunjukkan ketidakpuasan hati rakyat.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan PKR Sabah, Razeef Rakimin, berkata selain tindakan yang lambat, penampilan pemimpin untuk membantu rakyat ketika ditimpa bencana juga dilihat tidak kena dengan situasi yang berlaku.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan PKR Sabah, Razeef Rakimin

“Ketika ‘Keluarga Malaysia’ ditimpa bencana, para pemimpin mengambil masa terlalu lama untuk memutuskan tindakan yang perlu diambil, malah hanya ketika banjir mula surut barulah para menteri hadir tunjuk muka dengan diiringi pegawai serta jurugambar.

“Pelbagai gelagat menteri kita dapat lihat. Ada datang menaiki bot penyelamat untuk menyelamat tetapi membawa beberapa pegawai serta jurufoto memenuhi bot.

“Ada yang datang tersenyum sekadar ambil gambar. Ada yang mengambil peralatan membersih milik badan bukan kerajaan (NGO) lain dan berlakon seolah membersihkan kawasan terjejas banjir,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah tindakan menteri hadir membawa sumbangan dengan beg atau kotak yang bercetak nama dan wajah mereka selepas beberapa hari banjir juga sebagai sesuatu yang tidak wajar kerana menunjukkan pemimpin terbabit mempunyai masa untuk menampal wajah pada kotak, namun tiada masa membantu rakyat sebelum itu.

Katanya, ada juga Menteri yang membuat jamuan di hotel mewah dihadiri VIP untuk majlis kutipan dan serahan sumbangan kepada mangsa banjir sedangkan mereka boleh melakukannya tanpa perlu dibuat di hotel mewah.

“Menteri hadir pada saat akhir dan berlagak seperti wira namun mereka hilang ketika ‘Keluarga Malaysia’ menangis memerlukan bantuan. Mereka juga ‘kantoi’ berlakon membantu proses pembersihan melalui rakaman-rakaman yang ditularkan di media sosial.

“Saya juga melihat terlalu ramai mangsa banjir dan petugas sukarelawan yang mengadu kehadiran para menteri dan pemimpin kerajaan hanya menyukarkan kerja mereka kerana para menteri ini hanya hadir untuk berlakon dan mengambil gambar serta video sahaja.

“Malah kerja-kerja sukarelawan juga tergendala kerana ‘protokol’ yang tiada keperluan ketika lawatan para menteri serta arahan-arahan merepek termasuk tidak dibenarkan berada di kawasan terbabit ketika rombongan menteri hadir,” katanya.

Selain itu, katanya beberapa rakaman video menunjukkan menteri dihalau dari kawasan terjejas seperti Datuk Seri Mohd Azmin Ali memperlihatkan rakyat muak dengan lakonan serta sikap tidak bertanggungjawab pemimpin negara menangani krisis banjir.

Katanya, Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) yang baru dilancarkan pada Oktober lalu juga dilihat seperti wayang untuk menunjukkan aset namun gagal ketika negara berhadapan bencana banjir.

“Kerajaan hari ini jelas gagal secara total dalam menangani krisis banjir. Kelembapan kerajaan dalam bertindak memaksa lebih ramai orang awam risikokan keselamatan serta mengorbankan wang ringgit, tenaga dan masa bagi membantu mangsa banjir.

“Tiada lagi yang boleh diharap daripada kerajaan gagal ini. Saya yakin kemarahan rakyat terhadap kerajaan hari ini tidak mampu diubati dengan hanya pengumuman bantuan yang akan diberikan,” katanya.

Jelasnya, banjir yang melanda lapan negeri iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Perak dan Kelantan menimbulkan musibah yang besar kepada rakyat, selain korban nyawa yang tinggi hingga mencapai 47 mangsa setakat hari ini.

Di sebalik kegagalan pemimpin, Razeef berkata rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama menunjukkan kesatuan dengan tampil membantu bermula dengan operasi menyelamat mangsa banjir sehingga ke proses pembersihan pasca banjir.

“Ada yang datang secara individu, berkumpulan dan ada yang mewakili NGO masing-masing. Ribuan sukarelawan hadir ke semua kawasan banjir dengan wang dan peralatan sendiri.

“Selain bantuan tenaga, ada yang memberi bantuan pakaian, makanan, baik pulih kediaman dan bagi mereka yang tidak dapat hadir secara fizikal, mereka menyumbangkan dana melalui NGO-NGO sedia ada.

“Begitu juga syarikat-syarikat besar yang sudi memberi sumbangan serta membantu melalui pelbagai cara termasuk baik pulih kenderaan, perabot, barangan elektrik dan ada pasaraya yang membenarkan mangsa banjir mengambil barangan keperluan,” katanya.

Beliau berkata, situasi seperti itu tidak pernah terjadi dan ia membawa makna sebenar kepada ‘rakyat jaga rakyat’, berbeza dengan kelemahan pihak kerajaan dalam menyegerakan tindakan sewajarnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|