Kota Kinabalu: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diarah memastikan sistem perparitan, khususnya di pantai timur tidak tersumbat sebagai langkah menghadapi hujan lebat akibat luruan angin Monsun Timur Laut.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata langkah segera itu perlu bagi memastikan sistem perparitan sedia ada dapat mengalirkan air hujan dengan lancar, khususnya di kawasan bandar.
Beliau berkata, arahan itu sejajar dengan ramalan hujan lebat luar biasa yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MET) Malaysia hari ini.
“Seringkali air hujan tidak dapat mengalir dengan lancar di kawasan bandar disebabkan parit yang tersumbat.
“Ia mungkin disebabkan pebagai faktor, paling banyak berpunca daripada pembinaan perparitan yang tidak sempurna, selain disalah guna sebagai tempat pembuangan sampah.
“Namun sekarang bukan masa untuk menuding jari. Apa yang lebih penting ialah kita mesti bersedia menghadapi situasi terburuk,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan negeri, turut menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan rendah supaya berjaga-jaga dan mengambil iktibar terhadap kejadian banjir buruk di Semenanjung.
Katanya, rakyat negeri ini juga perlu mengambil peringatan mengenai kejadian banjir di kawasan yang tidak biasa dinaiki air seperti berlaku di banyak kawasan di beberapa negeri lain.
“Kalau dapat, buat perancangan sekarang untuk berpindah ke kawasan tinggi terutama mereka yang tinggal di kawasan mudah banjir bagi menyelamatkan nyawa,” katanya.
-Deasoka