RM95.89 juta peruntukan pembangunan belia tahun depan

RM95.89 juta peruntukan pembangunan belia tahun depan

Kota Kinabalu: Sebanyak RM95.89 juta diperuntukkan kerajaan negeri kepada Kementerian Belia dan Sukan Sabah dalam belanjawan tahun depan dengan memberi tumpuan kepada pelbagai inisiatif pembangunan belia terutama dalam program peningkatan kemahiran dan latihan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, tumpuan akan diberikan kepada kebolehpasaran dan padanan bakat pekerjaan bagi melahirkan golongan belia yang berdaya saing.

“Kerajaan akan meneruskan pemberian peruntukan sebanyak RM5 juta kepada persatuan belia sebagai dana permulaan untuk pelaksanaan program sebagai tambahan kepada RM10 juta yang diperuntukkan untuk Program Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS).

“Program itu adalah satu inisiatif baharu untuk membantu usahawan belia memulihkan perniagaan mereka yang terjejas disebabkan pandemik Covid-19,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan (MPAT) Majlis Belia Sabah ke-24 secara maya di sini, hari ini.

Tambah beliau lagi, kerajaan negeri juga akan melaksanakan Program Felo Belia Sabah Maju Jaya (SMJ) dan Program Inkubator Kepimpinan Belia Sabah (IKeBS).

“Program itu akan menyaksikan penglibatan pelbagai agensi seperti Kementerian Belia dan Sukan, Sekretariat Halatuju SMJ, Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR) serta Majlis Belia Sabah.

“Kerajaan juga akan memberi tumpuan kepada usaha menangani masalah sosial dalam kalangan belia dengan mempertingkatkan kepimpinan belia dan program kesukarelawanan, memupuk semangat patriotik serta menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif,” katanya.

Sementara itu, Hajiji yang juga penaung kepada Majlis Belia Sabah berharap majlis itu dan badan gabungannya mampu menjadi suara kepada dasar, agenda dan inisiatif kerajaan, agar dapat disampaikan kepada rakyat.

“Sebagai generasi masa depan, agenda pembangunan belia perlu dilaksanakan dengan berpandukan bantuan semasa dan cabaran mendatang,” katanya.

Terdahulu, beliau turut memuji Majlis Belia Sabah atas inisiatif Dapur Belia yang bukan saja bertindak sebagai program kemanusiaan untuk membantu meringankan beban yang dihadapi golongan rentan tetapi juga pemangkin kepada anak muda terlibat dalam aktiviti sukarelawan.

Sehubungan itu, Hajiji menggesa golongan belia untuk mengambil bahagian secara proaktif dalam pembangunan negara.

“Anda semua penting kerana anda akan menjadi masa depan kami yang akan mempunyai kuasa, idea, semangat dan keberanian untuk membawa perubahan kepada kebaikan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|