Covid-19 Sabah: Kuarantin wajib kemasukan pengembara dari negara berisiko tinggi bermula esok

Covid-19 Sabah: Kuarantin wajib kemasukan pengembara dari negara berisiko tinggi bermula esok

Kota Kinabalu: Pengembara dari luar negara yang mahu ke Sabah perlu menjalani kuarantin wajib tujuh hari apabila tiba di Kuala Lumpur sebelum meneruskan perjalanan ke negeri ini berkuatkuasa esok.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata kuarantin mandatori itu perlu dipatuhi pengembara dari senarai negara yang diumumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini.

“Seperti yang diumumkan semalam, mulai esok (28 Disember), semua pengembara yang datang dari negara tertentu melalui penerbangan antarabangsa dan berhasrat ke Sabah atau dalam perjalanan balik ke Sabah akan melalui kuarantin mandatori tujuh hari di Kuala Lumpur sebelum dibenarkan untuk meneruskan perjalanan ke Sabah.

“Senarai negara yang yang terlibat dengan peraturan terbaharu ini telahpun diumumkan semalam,” katanya dalam kenyataan petang ini.

Peraturan atau protokol berkenaan dikenakan terhadap pengembara yang datang dari negara United Kingdom, Arab Saudi, Australia, Norway, Perancis, Kanada, Denmark, Nigeria, Amerika Syarikat, India Dan Pakistan.

Negara terbabit dikenal pasti berisiko tinggi jangkitan Covid-19 varian Omicron.

Masidi berkata, bagi rakyat negara asing yang tiada pengecualian khas memasuki Sabah, mereka juga perlu memohon kebenaran daripada Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Jabatan Ketua Menteri Sabah untuk masuk ke negeri ini.

Sementara itu, Masidi yang juga jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, berkata kes harian Covid-19 di negeri ini kekal stabil walaupun ada pertambahan 17 kes berbanding jumlah semalam menjadikan jumlah terbaharu 125 kes hari ini.

“Kumpulan daerah ‘Empat Serangkai’ menjadi empat daerah teratas yang mencatatkan jumlah kes baharu tertinggi di Sabah.

“Daerah Tuaran dan Kota Kinabalu mendahului dengan masing-masing 23 kes, diikuti Kota Belud (19 kes) dan Ranau sebanyak lapan.

“Ia menunjukkan hanya tiga daerah di Sabah masih mencatat kes harian dua angka iaitu Tuaran, Kota Kinabalu dan Kota Belud, manakala tiada kes baharu di lapan daerah,” katanya.

Beliau berkata, seramai 121 orang daripada 125 pesakit baharu hari ini berada dalam Kategori 1 dan 2, diikuti dua orang dalam Kategori 3, seorang dalam Kategori 4 dan tiada pesakit baharu dalam Kategori 5.

Statistik Covid-19 Sabah mengikut daerah:

Covid Update 27 Disember 2021
Sabah 125 (108)

Tuaran 23 (16)
Kota Kinabalu 23 (14)
Kota Belud 19 (6)
Ranau 8 (26)
Penampang 7 (10)
Sipitang 7 (1)
Keningau 7 (7)
Kota Marudu 5 (3)
Putatan 5 (5)
Beaufort 4 (2)
Lahad Datu 3 (1)
Kudat 3 (1)
Tambunan 2 (2)
Kuala Penyu 2 (4)
Papar 2 (2)
Sandakan 2 (0)
Beluran 1 (0)
Kinabatangan 1 (0)
Kalabakan 1 (0)
Semporna 0 (0)
Telupid 0 (1)
Kunak 0 (0)
Nabawan 0 (0)
Pitas 0 (0)
Tenom 0 (1)
Tongod 0 (0)
Tawau 0 (6)

Angka dalam kurungan adalah jumlah kes 26 Disember 2021

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|