Hab Halal akan dibangunkan di KKIP

Hab Halal akan dibangunkan di KKIP

Kota Kinabalu: Sebuah Hab Halal akan dibangunkan di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) di bawah inisiatif Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi mengalakkan usahawan tempatan menceburi dan menembusi pasaran halal.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata Hab Halal di kawasan seluas 20 ekar itu akan menyediakan kemudahan premis, teknologi dan platform digital yang diperlukan usahawan dalam sektor berkaitan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor

“Hab Halal akan memberi panduan kepada usahawan mengenai keperluan untuk mendapatkan pengiktirafan halal dan persijilan MeSTI (Makanan Selamat Tanggungjawab Industri).

“Ia juga akan memberi bantuan dalam pemprosesan dan pemasaran produk itu,” katanya ketika menyempurnakan majlis penutupan Jelajah Halal Malaysia 2021 peringkat negeri, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya.

Hajiji berkata Sabah adalah antara penyumbang dalam ekonomi halal negara yang menjadi sektor pertumbuhan baharu yang berpotensi besar.

Pada 2020, industri halal menyumbang sebanyak RM9.7 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, manakala laporan Unit Perancang Ekonomi (EPU) menunjukkan segmen pasaran halal dijangka menyumbang kepada 8.1 peratus KDNK negara dan mampu menjana pendapatan eksport sebanyak RM56 bilion pada 2025.

Hajiji berkata, ekonomi halal yang kukuh juga menjadi petanda baik dalam menarik lebih ramai ketibaan dalam sektor pelancongan mesra Muslim (MFT), segmen baharu dalam sektor pelancongan di Sabah.

“Dalam Laporan Ekonomi Islam Global 2020/21, Malaysia mengungguli tempat teratas dalam sektor pelancongan MFT. Justeru, kita tidak mahu Sabah terlepas peluang dalam sektor pasaran pelancongan halal,” katanya.

Tambahnya, industri pelancongan halal dijangka meningkat kukuh memandangkan lokasi Sabah yang strategik dalam BIMP-Eaga yang turut membuka banyak peluang pelaburan langsung dan perdagangan sempadan dengan pembangunan di negara jiran, Kalimantan, Indonesia.

Sehubungan itu, Hajiji menggesa semua kementerian dan agensi berkaitan serta pemain industri dapat menggembleng tenaga dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran produk halal tempatan ke peringkat antarabangsa.

“Saya mahu melihat lebih ramai usahawan Kecil dan Sederhana (PKS) mengambil bahagian secara aktif dalam ekosistem halal dan menaik taraf perniagaan mereka ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Kerajaan negeri juga katanya akan terus menyediakan pelbagai inisiatif sebagai pemangkin kepada industri halal, khususnya dengan memberi lebih banyak peluang perniagaan kepada PKS tempatan.

Beliau menambah, pasaran produk halal tidak lagi tertumpu kepada pengguna Islam sahaja tetapi turut menyaksikan peningkatan permintaan dalam kalangan pengguna bukan Islam.

Berikutan itu, beliau berharap lebih banyak syarikat tempatan akan menceburi sektor itu kerana pada masa ini hanya kira-kira 300 syarikat di Sabah mendapat pengiktirafan halal walaupun ada lebih 5,000 syarikat berpotensi besar di negeri ini.

Jelasnya, Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) diperuntukkan sebanyak RM5.76 juta di bawah perbelanjaan perbekalan dalam Belanjawan Sabah 2022 bagi menubuhkan empat lagi pusat PKS di negeri ini.

Katanya, ptogram Bantuan PKS (BAIKS) yang membantu 3,269 usahawan sejak penubuhannya akan diteruskan, manakala lebih banyak program khususnya dalam meningkatkan kualiti produk sedang dalam perancangan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|