Kota Kinabalu: Jalan Telupid-Sandakan yang tular baru-baru ini akan dinaik taraf kepada empat lorong menerusi pelaksanaan projek Pan Borneo.
Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan memaklumkan bahawa jalan itu dimasukkan ke dalam Pakej 28, 29 dan 30 bagi pelaksanaan projek Pan Borneo.
“Jalan itu akan dinaik taraf sebagai ‘highway’ dari dua lorong kepada empat lorong.
“Jadi alang-alang (dibaiki semuanya), dua kali bikin,” katanya menjelaskan kenapa jalan itu hanya ditampal dan bukannya dibuat baharu.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Pengiktirafan dan Penghargaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, di Dewan Sri Kinabatangan, Sembulan di sini, hari ini.
Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri menasihatkan pengguna jalan raya supaya berhati-hati menggunakan jalan berkenaan.
Katanya, sebelum ini kerajaan telah meluluskan Pakej Pan Borneo, maka pihak konsesi ‘take off’ untuk memberi laluan kepada kontraktor.
“Ketika dalam peralihan kuasa yang mengambil masa sebulan, berlaku kerosakan jalan di kawasan itu.
“Tetapi pemandu pun kalau sudah tahu jalan ini rosak, jangan pandu laju lagi. Kalau sudah rosak, perlahankan sedikit. Tetapi tidak apa, perkara ini kita perbetulkan sajalah,” katanya.
Sebelum ini tular 10 kenderaan tersadai akibat rosak selepas terlanggar lubang di jalan berkenaaan dan kejadian itu turut menarik perhatian warganet yang meminta pihak bertanggungjawab membaiki jalan berkenaan.
Hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Ir Ali Ahmad Hamid.
-Deasoka