Juragan bersama empat awak-awak warga asing ditahan

Juragan bersama empat awak-awak warga asing ditahan

Kota Kinabalu: Juragan bersama empat awak-awak bot pukat tunda ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah dan Labuan selepas didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri, semalam.

Semua lelaki berusia 17 hingga 29 tahun terbabit ditahan di perairan Kota Kinabalu pada kedudukan 0.73 batu nautika utara Pulau Manukan sekitar jam 11 pagi.

Lokasi bot ditahan di perairan Kota Kinabalu pada kedudukan 0.73 batu nautika utara Pulau Manukan. Pix Ihsan Maritim Malaysia

Pengarah Maritim Malaysia Sabah dan Labuan, Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, sebaik ditahan, pemeriksaan mendapati seorang juragan bersama empat kru bot pukat tunda terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Katanya, semua pekerja terbabit disyaki warga Indonesia dan mereka terus ditahan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan selanjutnya.

“Semua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6 (1) (C) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dikenakan denda mengikut Seksyen 6 (3) akta yang sama.

“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, dan boleh juga dikenakan sehingga enam sebatan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Rosli berkata, pihaknya akan terus mempertingkatkan operasi dalam usaha mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) berikutan beberapa kelonggaran yang diberikan kerajaan melalui sektor ekonomi dan sosial.

Katanya, Maritim Malaysia turut memandang serius kepada aktiviti jenayah laut yang lain seperti penyeludupan, pencerobohan bot nelayan asing dan aktiviti pengemboman ikan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|